Siakap Keli
Kredit Gambar: Tanya Sen, Founder Nyne Design

Perlu Ke Perabot & Perkakas Dalam Rumah Difaraid Jika Berlaku Kematian? Ini Penjelasan Mufti WP

Perlu Ke Perabot & Perkakas Dalam Rumah Difaraid Jika Berlaku Kematian? Ini Penjelasan Mufti WP

Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati dan mereka yang ‘pergi’ dari dunia sementara ini meninggalkan pelbagai harta termasuk tanah, rumah dan sebagainya.

Dengan pemergian pemilik, timbul persoalan apakah yang akan dilakukan dengan harta yang ditinggalkan oleh si mati sama ada dibahagikan kepada nasabnya ataupun diwakafkan?

Isu ini seringkali menjadi topik hangat selepas ketiadaan pemilik apabila terdapat nasab atau saudara-mara yang menuntut hak tersebut. Perkara ini tidak boleh dipandang enteng oleh masyarakat kerana boleh membawa kepada pertikaman lidah dan sebagai.

Dalam Islam, setiap perkara yang dilakukan berlandaskan syariat yang menjadi panduan hidup bagi seorang muslim tidak kira dari segi pemakaian, kebersihan dan termasuklah pembahagian harga pusaka.

Mungkin masih ramai juga yang belum mengetahui mengenai pusaka isi rumah, adakah ia perlu difaraid atau tidak? Untuk mengetahui jawapannya, mari kita ikuti pencerahan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Semoga bermanfaat.

Soalan

Assalamualaikum Datuk Mufti, saya ingin bertanya berkenaan perabot dan perkakas dalam rumah, begitu juga benda-benda kecil seperti pinggan mangkuk, adakah ia perlu difaraidkan apabila berlakunya kematian?

Ringkasan Jawapan

Segala sesuatu yang ditinggalkan si mati termasuklah perkakas rumah dan juga isinya merupakan harta pusaka yang perlu dibahagikan secara faraid kepada para warisnya yang berhak. Dalam masa yang sama, sikap bertolak ansur dan juga keprihatinan perlulah ada sewaktu menentukan jenis harta yang perlu dibahagikan secara faraid agar tidak pula menzalimi orang lain ataupun merenggangkan hubungan silaturahim sesama ahli waris.

Huraian Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Akhirat.

Rasulullah SAW bersabda:

«أَلْحِقُوا الفَرَائِضَ بِأَهْلِهَا، فَمَا بَقِيَ فَهُوَ لِأَوْلَى رَجُلٍ ذَكَرٍ»

Maksudnya: “Bahagikanlah harta perwarisan kepada yang berhak dalam kalangan ahli waris. Sekiranya ada yang berbaki maka yang lelaki dalam kalangan kamulah yang lebih berhak.”

Riwayat al-Bukhari (6732), Muslim (1615)

Hadis ini jelas menerangkan kepada kita agar membahagikan harta peninggalan si mati atau harta pusaka kepada sekalian para waris yang berhak berdasarkan kepada apa yang telah ditetapkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran dan juga berdasarkan kepada sunnah Rasulullah SAW.

Pada dasarnya, harta pusaka ialah segala apa yang ditinggalkan oleh si mati[1] selepas kematiannya sama ada dalam bentuk harta alih seperti emas, perak, duit, perabot dan sebagainya, atau dalam bentuk harta tidak alih seperti tanah, rumah dan sebagainya. Kesemua ini termasuklah dalam takrifan harta peninggalan. Maka, apabila meninggalnya seseorang dan meninggalkan sekian-sekian harta seperti di atas, maka hendaklah ia dibahagikan kepada para warisnya yang berhak[2].

Berdasarkan kepada takrifan harta pusaka, segala isi rumah hendaklah dibahagikan secara faraid kepada seluruh ahli warisnya yang berhak. Adapun sesuatu barangan yang telah dipastikan bahawa ia milik orang lain seperti isteri atau selainnya, maka ia tidaklah menjadi harta pusaka si mati.

Bagi menentukan pembahagian terhadap harta pusaka tersebut, maka ia perlulah dinilai terlebih dahulu. Seterusnya barangan yang tiada nilai atau mempunyai nilai yang kecil, bolehlah diambil atau digunakan tanpa perlu melalui proses faraid, namun perlulah mendapat keizinan para waris yang lain. Sehubungan dengan itu, di sinilah terletaknya unsur utama dalam hal pembahagian harta iaitu sikap bertolak ansur dan keprihatinan.

Antara nilai murni lain yang perlu diambil kira sewaktu proses pembahagian pusaka ini juga termasuklah sikap kebertanggungjawaban dan tidak mementingkan diri sendiri. Hal ini kerana, apabila berlakunya kematian, lalu sikap-sikap tidak baik seperti tamak dan mementingkan diri sendiri ini muncul, maka ia boleh meruntuhkan dan juga merenggangkan hubungan baik sesama keluarga atas sebab perebutan harta. Maka, dalam hal ini, para waris sebaiknya saling bertolak ansur sesama mereka bagi menentukan pembahagian pada barangan tersebut berjalan lancar.

Kesimpulannya, segala sesuatu yang ditinggalkan si mati termasuklah perkakas rumah dan juga isinya pada asasnya merupakan harta pusaka yang perlu dibahagikan secara faraid kepada para warisnya yang berhak. Dalam masa yang sama, sikap bertolak ansur dan juga keprihatinan perlulah ada sewaktu menentukan jenis harta yang perlu dibahagikan secara faraid agar tidak pula menzalimi orang lain ataupun merenggangkan hubungan silaturahim sesama ahli waris.

Wallahu A‘lam.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

BACA: Berdepan Inflasi, Ramai Berjimat Buat Dua Tiga Kerja Sehari Nak Bagi Keluarga “Happy”

BACA JUGA: Mungkin Anak Sendiri Pernah Terkena, Ini 5 Jenis Buli Di Sekolah Termasuklah Jegil Mata

Iqbal Yasir

A wise man once said "Siuuuuu"

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.