UMNO Pekan Masukkan Nama Najib Dalam Senarai Calon Parlimen Pekan
Umno Pekan dilaporkan menyenaraikan nama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama dengan lima calon lain bagi mempertahankan kerusi parlimen itu pada PRU15 akan datang, lapor Sinar Harian.
Timbalan Ketua UMNO Pekan, Datuk Seri Zamri Ramly berkata, keputusan itu dibuat berikutan bekas pemimpin itu masih berpeluang bertanding sekiranya beliau berjaya dalam permohonan mahkamah untuk membuat semakan semula keputusan Mahkamah Persekutuan pada Ogos lalu.
Datuk Seri Zamri Ramly berkata, sekiranya keputusan mahkamah memihak kepada Najib Razak, dan sekiranya dia dibebaskan sebelum penamaan calon maka beliau layak bertanding bagi mempertahankan kerusi parlimen Pekan itu.
“Jadi tiada masalah bagi UMNO Pekan untuk menyenaraikan nama beliau dalam senarai calon untuk PRU15 ini,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi.
Menurutnya, UMNO Pekan juga tidak berhasrat untuk meletakkan nama anak sulung Najib Razak, Datuk Nizar Najib atau anak perempuannya, Nooryana Najwa sebagai calon bagi kerusi parlimen itu.
Tambahnya lagi, sebagai Ketua Pemuda Pekan, Nizar Razak digalakkan untuk bertanding bagi kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Nooryana pula dia tidak aktif berpolitik jadi mungkin belum masanya untuk namanya dicalonkan,” katanya lagi.
Dilaporkan bahawa selain nama Najib Razak, empat nama calon lain masih lagi tidak didedahkan oleh Timbalan Ketua UMNO Pekan itu.
Sumber: Sinar Harian