Siakap Keli
Teknologi 5G Punca Masalah

Adakah Teknologi 5G Punca Masalah Kesihatan Termasuk Kanser? Ini Fakta Yang Anda Perlu Tahu

Teknologi 5G yang giat dibangunkan di seluruh dunia telah mencetuskan satu teori tidak berasas tentang bahayanya teknologi tersebut. Terutamanya sejak beberapa tahun kebelakangan  ini, timbul ketakutan atau konspirasi yang mendakwa teknologi 5G boleh membahayakan nyawa kita. Apakah ‘rahsia’ di sebalik teknologi 5G ini kepada manusia? Mari kita selami dengan lebih mendalam menerusi penerangan di bawah.

Walaupun pada masa kini masih tiada bukti saintifik yang mengatakan 5G boleh memudaratkan kesihatan manusia, namun ramai orang yang terlalu mempercayai teori-teori tersebut.

Contohnya, Bill Gates yang sebelum ini pernah dituduh ingin mengawal manusia dan akhirnya membunuh mereka melalui penggunaan nanochip dan teknologi perkhidmatan 5G.

Namun, ramai pakar yang terlibat dalam penghasilan peranti nanochip dan teknologi perkhidmatan 5G telah menafikan perkara tersebut..

Bukan itu sahaja, isu teknologi perkhidmatan 5G sering menjadi topik hangat apabila terdapat dakwaan yang menyatakan ia boleh memudaratkan kesihatan seperti menyebabkan kanser. Malahan, ada juga yang mendakwa penggunaan teknologi ini berkait rapat dengan pandemik yang berlaku sekaligus menimbulkan kebimbangan orang ramai terhadap penggunaan teknologi berkenaan.

Menurut Profesor Dr. Tharek Abd Rahman dalam kenyataan rasmi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sebelum ini, tiada keputusan penyelidikan konklusif yang membuktikan teknologi perkhidmatan 5G membahayakan kesihatan masyarakat.

Jelas beliau, kajian-kajian yang dilakukan mendapati, pendedahan terhadap Medan Elektromagnet Frekuensi Radio (Radio Frequency Electromagnetic Field atau RF-EMF) adalah di bawah had yang disyorkan di dalam Garis Panduan International Commission on Non-Ionizing Radiation Protection (ICNIRP).

Tidak dinafikan, teknologi perkhidmatan 5G masih lagi dalam pembangunan di seluruh dunia. Negara Malaysia juga tidak terkecuali dan masih lagi dalam pembikinan untuk mencapai tahap 5G. Tetapi, anda semua tidak perlu bimbang kerana, teknologi ini mempunyai manfaat serta kelebihannya tersendiri.

Apa itu teknologi 5G?

Asyik bercerita tentang 5G, mungkin ada antara kita yang belum jelas apa sebenarnya teknologi perkhidmatan 5G ini? Kalau anda semua nak tahu, teknologi 5G merupakan teknologi mudah alih generasi kelima dan merupakan lanjutan daripada generasi sebelumnya iaitu daripada teknologi perkhidmatan 1G hingga 4G.

Teknologi 5G dihasilkan dengan kelajuan yang jauh lebih pantas berbanding dengan purata kelajuan 4G (25 Mbps), iaitu boleh mencecah antara 200 hingga 400 Mbps. Ia juga mempunyai kapasiti yang lebih besar dan kadar lengahan hampir sifar sekali gus berpotensi besar meluaskan inovasi dalam ekonomi digital.

Menerusi satu infografik daripada BERNAMA, ada empat manfaat teknologi perkhidmatan 5G yang perlu diketahui oleh anda semua iaitu:

  • Keupayaan jaringan yang lebih luas
  • Kebolehpercayaan yang tinggi
  • Kelajuan data yang sangat pantas
  • Mengupayakan perkhidmatan baharu berinovatif merentasi sektor

Kelebihan teknologi 5G

Kehadiran teknologi perkhidmatan 5G dilihat mampu untuk memberi kesan yang positif. Secara tidak langsung, ia juga boleh membawa kelebihan besar dan meningkatkan lagi ekonomi negara mengikut sektor.

Untuk maklumat anda, ada beberapa sektor ekonomi yang akan mendapat kelebihan daripada penggunaan teknologi 5G iaitu pertanian (pertanian jitu), automotif (kereta pandu sendiri), pendidikan (kelas realiti maya) serta kesihatan (konsultasi dan diagnosis penjagaan kesihatan jarak jauh). 

Sektor-sektor lain yang turut memperoleh kelebihan ialah perkilangan (pembuatan pintar atau robotik), media dan hiburan, keselamatan awam dan bandar pintar.

Melalui pelaksanaan ini, masalah gangguan rangkaian talian dan internet yang sering menjadi masalah dapat diselesaikan. Kalau anda lihat, kerajaan Malaysia sangat komited dalam melaksanakan teknologi 5G. 

Dengan adanya pelaksanaan ini, ia sewajarnya dapat membuka mata masyarakat Malaysia untuk bersiap sedia terutamanya dari segi pengetahuan ke arah permodenan. Jangan terkejut jika suatu hari nanti, teknologi 5G yang bergerak pantas ini mampu memberi transformasi yang besar dalam semua aspek kehidupan di Malaysia.

Adib Mohd