Siakap Keli
Gambar: Facebook

Tular Rakaman Keadaan Air Deras, Langkawi Dibadai Banjir

Tular Rakaman Keadaan Air Deras, Langkawi Dibadai Banjir

Beberapa kawasan di Langkawi, Kedah dipercayai telah dilanda banjir selepas hujan lebat berterusan yang melanda sejak pagi tadi.

Malah, tular himpunan gambar dan video di media sosial yang menyaksikan keadaan air deras di sana.

Difahamkan, hujan lebat berterusan itu menyebabkan beberapa kawasan jalan raya dan kediaman dilimpahi air banjir serta kejadian pokok tumbang dilaporkan berlaku.

Beberapa kawasan sungai di pulau peranginan itu turut berada dalam pantauan ekoran paras air yang semakin membimbangkan.

Dalam satu kenyataan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Langkawi di Facebook memaklumkan bahawa antara sungai yang sedang berada dalam pantauan termasuklah Sungai Melaka di Bukit Kemboja dan Padang Matsirat, Empangan Padang Saga, Sungai di Kampung Teluk Yu Mukim Ayer Hangat.

Hasil pemantauan juga menyaksikan paras air di setiap sungai menunjukkan tren peningkatan ekoran hujan.

Terdahulu, lebih 40 pendaki gunung terperangkap dalam satu kejadian kepala air yang berlaku pada pagi tadi di Air Terjun Telaga Tujuh, Langkawi, lapor Bernama.

Dalam laporan tersebut, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon berkata pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 10.16 pagi sebelum 13 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Langkawi dikerahkan ke lokasi kejadian.

Difahamkan, setakat ini seramai 15 orang berjaya diselamatkan dan proses menyelamat masih lagi berjalan.

Sumber: Facebook APM Langkawi, Facebook Dato Sri Tuan Ibrahim bin Tuan Man, Facebook Orang Awam

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?