Kreatif, Warga Emas Ini Bina Rumah Terapung Siap Sedia Hadapi Banjir
Seorang warga emas di Kampung Tebak, telah berjaya membina sebuah rumah terapung hasil daripada kreativiti sendiri sebagai persediaan bagi menghadapi musim banjir yang mungkin melanda ketika musim tengkujuh melanda kawasan tersebut, lapor Sinar Harian.
A Bakar Che Ahmad, 67 tahun berkata, pembinaan rumah itu menggunakan 69 biji tong plastik yang dijadikan sebagai pelampung bagi memastikan rumah yang mempunyai lima bilik berkenaan mampu terapung dan tidak ditenggalami air banjir nanti.
“Saban tahun, kawasan ini sentiasa banjir dengan kedalaman air melebihi empat meter, jadi saya ambil keputusan bina rumah terapung ini sebagai persediaan awal untuk sebarang kecemasan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
A Bakar berkata lagi, pada sebelum ini dia berjaya membina sebuah reban ayam yang terapung bagi menyelamatkan 60 ekor ayam denaknya pada tahun 2018 lalu. Pembinaan itu telah menjadi inspirasi beliau untuk membina rumah terapung tersebut.
Dikatakan bahawa, biarpun tidak mempunyai kemahiran dalam bidang pertukangan, namun dia tetap berusaha untuk menyiapkan rumah itu sendiri mengikut idea rekaan yang digambarkannya.
Katanya lagi, dua tiang besi turut diletakkan di kiri dan kanan rumah itu bagi mengukuhkan dan mengikat rumah tersebut daripada dihanyutkan arus banjir jika berlakunya banjir pada musim kali ini.
“Saya tinggal di sini bersama isteri dan dua anak, rumah lama dibina dua tingkat memang sering dinaiki air jadi saya buat rumah ini di sebelah.
“Rumah terapung ini masih diperingkat percubaan sebab baru sahaja siap, saya harap ia dapat terapung dengan baik ketika musim banjir nanti,” katanya di akhiri perbualan.
Sumber: Sinar Harian