Liga Perdana Singapura Bakal Gunakan VAR Mulai Tahun Depan
Liga Perdana Singapura (SPL) akan memperkenalkan teknologi pembantu pengadil (VAR) pada musim depan, lapor laman berita Mothership.
Menurut Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS), pembaharuan itu sekaligus bakal menjadikan negara tersebut sebagai negara ketiga dalam Persekutuan Bola Sepak ASEAN dan negara ke-11 Asia yang melaksanakan sistem VAR.
Penggunaan teknologi itu pada baru-baru ini menjadi tajuk utama selepas ianya telah menyebabkan pembatalan gol dalam perlawanan berprofil tinggi Liga Perdana Inggeris pada hujung minggu lalu, antaranya perlawanan Liverpool menentang Manchester City dan Leeds menentang Arsenal.
Bagaimanapun, ketua projek dan Pengarah (Pengadil) FAS Nazeer Hussain, memberitahu laman web persatuan itu bahawa VAR akan meningkatkan kualiti bola sepak di Singapura bersama dengan kualiti prestasi pengadilnya.
“Kami mahu mereka sentiasa mengikuti perkembangan terkini, baik dari segi pengetahuan mereka tentang permainan mahupun dengan melengkapkan mereka dengan bantuan teknologi,” kata Nazeer.
“VAR telah digunakan secara meluas dan diterima kerana sumbangannya kepada permainan moden. Mendiang presiden FAS, Lim Kia Tong, pernah mengemukakan idea penggunaan VAR di Singapura kerana beliau percaya ia boleh memberi manfaat kepada bola sepak tempatan.
“Ia adalah satu cadangan yang menarik dan kami bekerja keras dalam projek itu sejak akhir 2021,” sambung Nazeer lagi.
Pegawai perlawanan kini sedang giat menjalani latihan dan persiapan VAR. Kini berada di peringkat ketiga daripada lima peringkat proses pelaksanaan dan kelulusan yang direka oleh FIFA.
Menurut Nazeer keseluruhan proses lazimnya mengambil masa antara 12 hingga 18 bulan.
Beliau menambah lagi bahawa latihan sedang berjalan dengan lancar dan FAS kini menjadualkan lawatan untuk pegawai FIFA melawat Singapura serta menilai sendiri kemajuan pegawai dalam penggunaan VAR tersebut.
“Masih terdapat beberapa perkara yang perlu dilakukan, tetapi jika semuanya berjalan dengan lancar, kami yakin dapat melaksanakan VAR dalam SPL pada tahun depan,” kata Nazeer kepada laman web rasmi FAS.
Sumber: Mothership