“Rasa Seperti Dicucuk Ratusan Jarum,” Gadis Hidapi Penyakit Kulit “Rare” Tampil Yakin Walau ‘Berbeza’
Seorang wanita berusia 19 tahun yang mempunyai masalah kulit di muka nekad untuk mempamerkan wajahnya tanpa sebarang solekan.
Keadaan kulitnya itu dapat dilihat dipenuhi dengan kesan-kesan lebam di sekeliling wajahnya.
Wanita yang bernama Nancy Morel itu berkata beliau mula menyedari sesuatu tidak kena pada kulitnya ketika sedang membeli-belah bersama ibunya, Jackie pada tahun 2015.
Pada masa itu, Nancy menyangka bahawa dia telah disengat serangga atau mengalami alahan dan terus bergegas ke A&E di Hospital Universiti Milton Keynes, Buckinghamshire untuk mendapatkan rawatan.

Memetik laporan Daily Star, keadaan kulit Nancy yang bertukar menjadi lebam-lebam itu membuatkan doktor sukar mengenal pasti punca penyakitnya sehingga beliau terpaksa dipindahkan ke Hospital Addenbrooke di Cambridge.
Content creator daripada Milton Keynes ini disyaki menghidap urtikaria vaskulitis, penyakit yang jarang berlaku di mana saluran darah membengkak. Walau bagaimanapun, beliau masih lagi menunggu keputusan diagnosis yang rasmi.
Nancy menjelaskan, “Seluruh kulit saya menjadi seperti lebam dan ruam”.
“Ia sangat sakit dan berasa seperti dicucuk oleh beratus-ratus jarum berulang kali,” ujarnya lagi.
Nancy berkata bahawa lebam itu menjejaskan kehidupan hariannya dan beliau juga telah mencuba beberapa krim dan minyak untuk mengurangkan kesan tersebut tetapi tidak memberi sebarang perubahan.
Katanya lagi, “Saya berasa penat dan sakit. Ia memberi kesan kepada tingkah laku saya dan ada kalanya saya tidak akan pergi ke sekolah”.
“Saya bernasib baik kerana semua orang di sekolah sangat mengagumkan dan tiada sesiapa yang berkata buruk dan memperlekehkan keadaan saya”.
“Malahan, mereka belajar sesuatu tentang keadaan kulit saya sekarang”.
Nancy kini telah berputus asa untuk mencari punca perubahan kulitnya yang sedemikian. Beliau sering berasa rendah diri dan tidak yakin dengan wajahnya namun, kini beliau telah mengubahnya, lapor Daily Star.
Di samping itu, Nancy turut mengatakan bahawa beliau tidak kisah apabila orang ramai sering merenung wajahnya kerana ianya memberi peluang kepadanya untuk menerangkan tentang keadaan beliau kepada orang lain.

“Saya amat menyayangi diri saya sendiri. Ribuan orang menghantar mesej kepada saya dengan mengatakan bahawa saya telah membantu mereka untuk sentiasa yakin dengan tubuh badan mereka” ujar Nancy.
“Saya berharap untuk menjadikan media sosial sebagai platform yang lebih inklusif untuk semua orang dan penampilan yang unik itu merupakan sesuatu perkara yang sangat istimewa”.
“Saya cantik dengan cara tersendiri. Walaupun saya tidak memenuhi standard kecantikan yang ditetapkan, saya mahu membantu orang lain untuk tidak membiarkan pihak lain menentukan keadaan fizikal mereka”.
Sumber: Daily Star