Siakap Keli
Tasik Eildon Kini Dilapor Kembali Dipenuhi Air
Kredit Metro UK

15 Tahun Kering Akibat Kemarau, Tasik Eildon Kini Dilapor Kembali Dipenuhi Air

15 Tahun Kering Akibat Kemarau, Tasik Eildon Kini Dilapor Kembali Dipenuhi Air

Sebuah tasik kering yang terletak di Victoria, Australia baru-baru ini dilaporkan telah dilimpahi air susulan kejadian hujan lebat selama beberapa hari di negara itu, lapor Metro UK.

Difahamkan bahawa, pada 15 tahun lalu tasik Eildon dikatakan hampir kering akibat kemarau teruk yang melanda pada tahun 2007.

Keadaan semasa tasik itu dahulunya hanya dipenuhi air sebanyak 5.3% air sahaja. Ia merupakan rekod paras air yang paling rendah pernah dicatatkan di tasik tersebut.

Tetapi kini, kesan daripada hujan lebat yang melanda, tasik itu telah dipenuhi dengan air pada paras 100.4% daripada kapasitinya. Keadaan ini dikatakan terakhir kali pernah terjadi pada 28 tahun yang lalu.

Hujan lebat di Victoria, selatan New South Wales (NSW) dan utara Tasmania sejak kebelakangan ini telah menyebabkan banyak kawasan dinaiki air.

Menurut laporan Metro UK lagi, beberapa empangan di sekitar tasik itu sudah hampir dipenuhi dengan air. Empangan Dartmouth telah melebihi kapasitinya untuk pertama kali dalam tempoh 26 tahun.

Setakat semalam empangan terbesar Melbourne Water iaitu Empangan Thomson, berada pada paras kapasiti 99.2% hampir memenuhi keseluruhan kapasiti empangan tersebut.

Kredit Yarra Valley Rides/Facebook

Beberapa arahan pemindahan telah dikeluarkan di seluruh Victoria setakat pagi ini berikutan kejadian banjir teruk yang sedang melanda.

Amaran cuaca buruk juga telah dikeluarkan di beberapa bahagian di Australia yang bakal menerima 200mm hujan sepanjang minggu depan.

“Hujan lebat dan ribut petir yang teruk akan melanda ke beberapa kawasan di timur dan tenggara Australia pada minggu ini.

“Hujan lebat ini akan memburukkan lagi keadaan dan meningkatkan lagi paras air yang sudah sedia ada membanjiri beberapa kawasan di negeri itu.

“Ribut petir akan menjadi sangat berbahaya di Queensland dan NSW antara hari Rabu dan Jumaat apabila ribut teruk berkemungkinan akan berlaku setiap hari di kedua-dua negeri,” kata pakar peramal cuaca, Ben Domensino.

Menurut menteri pengurusan kecemasan persekutuan, Murray Watt, dia telah memberi amaran bahawa Victoria bakal menghadapi banjir yang serius pada akhir minggu ini.

“Jadi ini adalah situasi yang sangat serius dan laporan yang saya terima ialah 9,000 rumah dilaporkan ditenggelami air di utara Victoria dan berpotensi hampir 34,000 lagi rumah di Victoria bakal ditenggelami air,” kata Murray Watt kepada Australian Broadcasting Corp.

Pada minggu lalu, dua orang telah lemas dan dua lagi dilaporkan hilang di Victoria dan New South Wales.

Menurut ketua pegawai operasi, Tim Wiebusch yang berkhidmat di Perkhidmatan Kecemasan Negeri Victoria, beliau telah mengeluarkan amaran kepada penduduk supaya sentiasa berwaspada.

“Walaupun terdapat beberapa sungai yang mulai surut, tetapi masih terdapat banyak sungai lain yang diancam banjir besar dalam beberapa hari mendatang,” kata Tim Wiebusch.

Setakat ini beribu-ribu orang telah dipindahkan dari rumah mereka. Beberapa sekolah dan jalan raya juga dilaporkan telah ditutup.

Sumber: Metro UK

Baca: “Sekelip Mata Bisnes Boleh Lingkup,” Ini Realiti Peniaga Di KL Kena Hadam Bila Duit ‘Rolling’ Modal Tak Cukup

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.