Siakap Keli
Gambar: The Guardian

Anggota Bomba Raih Pujian, Sanggup Tahan Sakit Nak Beranak Demi Selamatkan Mangsa Kemalangan

Anggota Bomba Raih Pujian, Sanggup Tahan Sakit Nak Beranak Demi Selamatkan Mangsa Kemalangan

Seorang anggota bomba di Baltimore, yang sedang sarat hamil sembilan bulan sempat menyelamatkan mangsa kemalangan jalan raya sebelum bergegas ke hospital untuk melahirkan anaknya.

Memetik laporan NBC’s Today, Megan Warfield, merupakan salah seorang daripada mangsa yang terlibat dalam kemalangan di Maryland, Amerika Syarikat.

Pada waktu itu, beliau dilaporkan sanggup menahan sakit kontraksi demi membantu seorang wanita yang terperangkap di dalam kereta serta mengawal lalu lintas.

“Saya tidak pasti bagaimana saya melakukannya kerana pada masa itu saya rasa kontraksi yang teruk,” kata Warfield kepada rancangan NBC’s Today apabila ditanya mengenai bagaimana beliau boleh turun dari kereta dan membantu mangsa tersebut.

Hal ini kerana, membantu orang lain menjadi sebahagian daripada tugasnya sebagai seorang anggota bomba.

Beliau tidak bertugas ketika insiden tersebut berlaku dan baru pulang dari kejohanan golf edisi kedua bagi menghormati mendiang bapanya, lapor The Guardian.

Warfield berkata beliau memanjat sebuah kereta yang terbalik untuk menyelamatkan mangsa, tetapi beliau berhenti seketika dan berfikir sejenak.

“Apa yang anda lakukan? Anda sedang hamil sembilan bulan,” kata Warfield kepada dirinya.

Walau bagaimanapun, hal tersebut diketepikan dan Warfield terus memegang wanita yang terperangkap serta memastikan mangsa kekal ditempatnya supaya tidak mengalami kecederaan yang lebih parah.

Gambar: NBC’s Today

Di samping itu, Warfield juga cuba menenangkan mangsa sehingga petugas kecemasan tiba di tempat kejadian.

“Ia sangat penting untuk memastikan mangsa berada dalam keadaan tenang kerana insiden ini memberi trauma kepadanya,” ujar Warfield.

Sejurus selepas insiden itu, Warfield terus membuat pemeriksaan di hospital Universiti Johns Hopkins di Baltimore. Beliau dimaklumkan bahawa kemalangan tersebut telah menyebabkan bayinya perlu dilahirkan segera.

Warfield dilaporkan selamat melahirkan seorang bayi perempuan bernama Charlotte pada keesokan harinya.

Dalam pada itu, beliau berkata bahawa dia bersedia untuk kembali bertugas sepenuhnya selepas cuti bersalin.

“Saya tidak sabar untuk memulakan tugas semula,” katanya kepada NBC’s Today.

Tindakan beliau telah meraih pujian dalam kalangan warganet.

Ketua Jabatan Bomba di Baltimore, Joanne Rund memberitahu NBC bahawa Warfield telah menggambarkan bagaimana dedikasinya anggota bomba untuk memberikan bantuan sama ada ketika sedang bertugas atau tidak.

Selain itu juga, salah seorang ahli daripada Jabatan Bomba Sukarelawan Bowleys Quarters mengatakan bahawa Warfield merupakan seorang penjawat awam sejati.

Sumber: The Guardian, NBC’s Today

Baca: “Sekelip Mata Bisnes Boleh Lingkup,” Ini Realiti Peniaga Di KL Kena Hadam Bila Duit ‘Rolling’ Modal Tak Cukup

Noorliyana Ishak

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.