Daun Bawang Sama Tinggi Dengan Manusia, Tular Hasil Sayur & Buah Gergasi Dari Ladang China
Dalam sebuah klip video tular baru-baru ini mendedahkan hasil tanaman ‘gergasi’ di sebuah ladang di wilayah Shandong, China yang telah menarik perhatian ramai.
Memetik South China Morning Post, ubi keledek di ladang berkenaan tular berikutan lebih besar daripada kepala manusia selain daun bawang juga dilaporkan mempunyai ketinggian lebih tinggi daripada orang dewasa.
Dalam sebuah web China yang dikongsikan oleh seorang pengguna, orang ramai membuat spekulasi berhubung hasil tanaman di sana yang menakjubkan dan jarang dilihat terhasil daripada faktor iklim dan langkah penanaman.

Seorang wanita yang berkongsikan video memaparkan ubi keledek seberat 10 kilogram(kg) lebih besar daripada kepala manusia membelinya di jalan Jining, sebuah bandar di Shandong pada hujung minggu.
“Kami orang Shandong sentiasa mempunyai hasil yang lebih besar. Bawang di sini lebih tinggi dan semuanya lebih besar. Tetapi saya tidak pernah melihat ubi keledek sebesar itu.
“Saya kagum kerana ia besar dan sangat luar biasa,” kata Huan kepada Jiupai News.
Seorang penyelidik di Akademi Sains Pertanian Shandong, Gao Limin berkata hasil ladang yang bersaiz besar seperti daun bawang, epal dan lobak merupakan perkara biasa di wilayah itu disebabkan pilhan baka dan iklim.
“Pada masa lalu, bekalan makanan pada musim sejuk di utara adalah pendek, jadi kami lebih suka hasil yang bersaiz besar dan mudah disimpan dengan kemudahan pengangkutan yang semakin bertambah baik hari ini.
“Sebahagian besar hasil pasaran masih dalam saiz biasa. Yang lebih besar dijual lebih banyak bagi memenuhi rasa ingin tahu orang ramai,” katanya kepada South China Morning Post.

Walau bagaimanapun, tidak dapat dijelaskan sama ada buah-buah dan sayur-sayuran itu telah diubah suai secara genetik atau terhasil kerana menggunakan jenis baja dan bahan kimia tertentu.
Sementara itu, pakar dalam budaya makanan di Akademi Sains Sosial Shandong, Wang Saishi menjelaskan bahawa hasil tanaman yang bersaiz besar menjadi satu ciri sinonim tanaman yang ditanam di wilayah tersebut.
“Orang Shandong lebih tinggi, lebih besar dan lebih kuat. Mereka makan lebih banyak, jadi mereka lebih cenderung untuk makan makanan dan hidangan yang lebih besar,” maklumnya.
Ladang di wilayah timur itu merupakan pengeksport terbesar dan terkenal di negara tembok besar. Ia juga sering menjadi tumpuan sejak kebelakangan ini ekoran video tular hasil sayur-sayuran dan buah-buahan gergasi di ladang itu.
Sumber: South China Morning Post
BACA JUGA: Tuah Durian Gergasi 18kg, Buah Masih Atas Pokok Tapi Sudah Dibida RM9,000 Sebiji