Kreatif, Pelajar “Engineering” Cipta Topeng Anti-Tiru Ketika Jawab Peperiksaan Tular
Pelajar di Kolej Universiti Kejuruteraan Bicol di Filipina menjadi tular kerana menggunakan topeng anti-meniru yang unik semasa sedang menjalani peperiksaan, lapor The Thaiger.
Seorang pensyarah memberi kelonggaran kepada pelajarnya dengan membenarkan pelajar jurusan kejuruteraan untuk mereka bentuk topeng bagi mengelakkan penipuan sewaktu menjawab peperiksaan.
Menurut laporan, reka bentuk topeng itu terpulang kepada idea kreativiti pelajar. Ada yang memakai topi keledar Spartan, ada yang memakai pengikat kepala seperti watak ‘anime’ terkenal Naruto.
Kebanyakan daripada para pelajar itu menggunakan barangan yang mudah didapati oleh mereka di rumah seperti kotak telur dan penyangkut pakaian.
Ada beberapa pelajar yang memilih reka bentuk anime gaya Halloween diperbuat daripada kadbod.
Menurut laporan The Thaiger, topeng anti-meniru itu mengandungi beberapa jenis penutup mata, biasanya diperbuat daripada kertas. Ianya direka untuk menghalang pelajar daripada melihat kertas peperiksaan kawan sebelah mereka.
Pensyarah itu telah berkongsi pembuatan topeng anti-meniru itu dan ia dengan cepat telah mendapat lebih daripada 4,000 perkongsian. Dia berkata dalam Facebooknya bahawa dia terkejut dengan hasil kreativiti dan penglibatan pelajar dalam pembuatan topeng tersebut.
“Saya masih percaya bahawa cara terbaik ialah dengan mempunyai integriti untuk tidak meniru dengan menggunakan topeng atau tanpanya.
“Saya sangat bangga dengan pelajar saya kerana peperiksaan pertengahan penggal ini mungkin memberi tekanan kepada mereka.
“Namun mereka berjaya bergembira dengan pembuatan reka bentuk topeng tersebut. Terima kasih banyak, pelajar. Awak buat saya bangga,” tulis pensyarah terbabit dalam Facebooknya.
Terdahulu idea topeng seperti itu pernah menjadi bualan dan kecaman di Universiti Kasetart Bangkok. Berikutan pembuatan topeng itu menggunakan kertas yang dicetak menggunakan komputer.
Gambar topeng itu telah dimuat naik di laman Facebook dan kemudian di padam sejurus selepas mendapat kecaman daripada orang ramai. Selepas mendapat kecaman berkenaan, penggunaan topeng tersebut terus dihentikan di universiti berkenaan.
Sumber: The Thaiger