Pokok ‘Bunga Mayat’ Buat Pertama Kalinya Keluarkan Buah Di Taman Botani China
Pokok bunga bernama Titan Arums atau nama saintifiknya Amorphophallus titanum dikatakan telah mengeluarkan buah berwarna merah terang di Taman Botani Negara China di Beijing.
Rekod menunjukkan bahawa ia adalah kali pertama tumbuhan tersebut berbuah di taman botani yang ada di seluruh China, lapor CGTN.

Salah seorang kakitangan di taman botani berkata buah tunggal berkenaan panjangnya dikatakan kira-kira 2.5 cm.
Tumbuhan ini juga dikenali sebagai ‘bunga mayat’ kerana mengeluarkan bau yang busuk seperti bangkai untuk menarik kumbang dan lalat bagi tujuan pendebungaan.
Selain itu, spesies ini berasal dari hutan Khatulistiwa Sumatera, Indonesia, tetapi ia diperkenalkan ke seluruh taman botani di serata dunia.
Apabila tumbuhan Titan Arums berbunga, tongkol bunga atau dikenali sebagai spadix boleh mencapai ketinggian lebih daripada 3 meter.

Walau bagaimanapun, bunga tersebut hanya mekar tidak lebih daripada dua hari.
Selepas itu, spadix pada bahagian atas akan runtuh dan buah berwarna merah terang dihasilkan pada bahagian bawah spadix.
Apa yang lebih menarik lagi, Titan Arums berbunga sekali-sekala dan tidak dapat diramalkan seperti tumbuhan lain. Oleh sebab itu, hal tersebut menjadikannya lebih sukar untuk berbuah.
Sehubungan itu, pokok Titan Arums ini disenaraikan sebagai tumbuhan terancam oleh Kesatuan Antarabangsa untuk Pemulihan Alam Semula Jadi.
Sumber: CGTN