Siakap Keli
tandas tertua jepun rosak
Gambar: tofukuji_zen_temple

Tandas Tertua Jepun Rosak, Lelaki Tak Sengaja Undur Kereta

Sebuah tandas tertua di Jepun yang berada di sebuah kuil Buddha rosak setelah dilanggar kereta dipandu seorang lelaki secara tak sengaja.

Seorang lelaki di Jepun yang ditugaskan untuk memelihara warisan budaya tanah air secara tidak sengaja terundurkan keretanya ke arah tandas tertua di negara itu sehingga musnah.

Menurut Channel News Asia (CNA), kejadian itu berlaku di Kuil Tofukuji di wilayah Kyoto Barat yang menempatkan tandas tertua di Jepun yang wujud sejak abad ke-15.

Lapor CNA, pintu kayu yang menuju ke tapak itu hancur selepas lelaki berusia 30 tahun dari Persatuan Pemeliharaan Warisan Kyoto tersebut mengundurkan keretanya secara tidak tidak sengaja, maklum polis memberitahu AFP.

Segalanya bermula selepas lelaki itu meletakkan kereta di hadapan tandas, kemudian dia menekan pedal untuk menghidupkan kembali keretanya tanpa sedar gear masih dalam keadaan R (undur).

Pegawai polis Kyoto yang bertanggungjawab dalam pemeliharaan warisan budaya tempatan, Norihiko Murata berkata, mereka dimaklumkan banyak kerja akan dilakukan untuk memulihkannya semula.

“Tembok di dalamnya juga mengalami kerosakan kecil tetapi dua baris tandas terselamat.

“Tandas itu secara tradisinya digunakan oleh sami sebagai sebahagian daripada latihan pertapaan mereka, walaupun begitu ia tidak lagi digunakan.

“Sudah pasti kejadian itu mengecewakan kerana tandas tersebut merupakan sebahagian daripada harta budaya, telah pun rosak seperti ini.

“Kami akan membincangkan cara untuk memulihkannya dengan mengekalkan sebanyak mungkin nilai budayanya,” katanya.

Sumber: CNA

Florence Nuar