Siakap Keli
Puluhan Keranda Tergantung Di Udara
Gambar: Wion News

Bangunan Tempatkan Kubur Runtuh, Puluhan Keranda Tergantung Di Udara

Bangunan Tempatkan Kubur Runtuh, Puluhan Keranda Tergantung Di Udara

Sebuah bangunan kolumbarium di Naples, Itali dilapor telah runtuh.

Menurut Wion, kejadian itu menyebabkan beberapa keranda tergantung di udara.

Kolumbarium merupakan salah satu binaan untuk menyimpan mayat di dalam keranda atau abu mayat.

Insiden tersebut berlaku di sebuah bangunan kolumbarium setinggi empat tingkat yang dipanggil sebagai Chapel of the Resurrection.

Beberapa gambar insiden berkenaan yang dikongsikan di media sosial menunjukkan beberapa keranda tergantung pada kabel yang mengikatnya dan berpotensi jatuh pada bila-bila masa.

Memetik laporan The Guardian, berpuluh-puluh keranda dilaporkan telah musnah.

“Keruntuhan itu didahului oleh letupan kuat dan kepulan asap hitam yang banyak,” kata Canselor Naples, Vincenzo Santagada.

“Sebagai pihak berkuasa, kami akan menguruskan semua formaliti yang diperlukan,” katanya lagi.

Selain itu, keluarga mangsa insiden berkenaan telah mengadakan protes di Chapel of the Resurrection pada Selasa lalu.

Menurut La Prensa Latina, ia merupakan insiden kedua yang berlaku pada tahun ini.

Pada 5 Januari lepas, sebuah kawasan perkuburan terbesar di Itali, Poggioreale Monumental Cemetery mengalami insiden yang sama.

Dalam insiden itu, kira-kira 300 kubur telah musnah disebabkan oleh tanah runtuh akibat kerja-kerja pembinaan di laluan kereta api bawah tanah.

Susulan daripada insiden pada Januari lepas, pihak berkuasa di Pejabat Pendakwa Raya Naples dilaporkan telah mengarahkan agar Poggioreale Monumental Cemetery ditutup.

Sehubungan itu, siasatan sedang dijalankan dan 20 orang sedang disoal siasat berhubung penglibatan mereka dalam kerja pembinaan kereta api yang menyebabkan insiden tersebut, lapor Wion News.

Di samping itu, ahli politik di kawasan Campania berkata “sudah bertahun-tahun tanah perkuburan di Naples diuruskan dengan teruk.

Malahan, ahli majlis parti Europa Verde, Francesco Emilio Borelli memuat naik satu komen melalui Facebook dengan berkata bahawa ‘tanah perkuburan ini telah lama terbiar dan diuruskan oleh keluarga mangsa. Mereka menjadi mangsa penipuan.’

Sumber: Wion News

Baca: “Sekelip Mata Bisnes Boleh Lingkup,” Ini Realiti Peniaga Di KL Kena Hadam Bila Duit ‘Rolling’ Modal Tak Cukup

Noorliyana Ishak