Gara-gara terlalu sanjung, penduduk kampung Upla di Maharashtra, India mendaftarkan sebidang tanah seluas 32 ekar atas nama monyet untuk ‘dimiliki’ oleh kawanan haiwan primat itu, lapor Oddity Central.
Ketua penduduknya, Bappa Padwal berkata, perkara itu diakui pihaknya dan seramai kira-kira 1,600 orang penduduk ‘hidup’ bersama dengan haiwan tersebut.
“Walaupun dokumen (hartanah) dengan jelas menyatakan bahawa tanah itu milik monyet, namun tidak diketahui siapa yang mencipta peruntukan ini untuk haiwan dan bila ia dilakukan.
“Perkampungan ini adalah ‘rumah’ kepada hampir 100 monyet sekarang dan bilangan mereka telah berkurangan selama bertahun-tahun kerana haiwan itu tidak tinggal lama di satu-satu tempat,” katanya, memetik Oddity Central.
Dalam pada itu, walaupun tanah tersebut dinamakan atas nama monyet, namun status pemilikannya turut menimbulkan persoalan apabila melibatkan kerja-kerja daripada pihak luar.
“Mengenai keadaan tanah monyet ini, tiada ada sesiapa pun yang boleh berunding dengan pemilik (iaitu monyet) mengenainya.
“Jadi jabatan perhutanan menjalankan projek ladang di atasnya, yang saya pasti monyet-monyet itu akan bersetuju,” memetik laporan itu.
Masyarakat India umumnya bagaikan mempunyai hubungan yang baik terhadap monyet, daripada tahap memberi makanan, meletakkannya di tempat tertinggi sehinggalah ke libatkan ritual-ritual agama.
Sementara itu laporan Times of India menyatakan, penduduk kampung biasanya menggunakan monyet dalam acara-acara tradisi seperti memberikannya hadiah ketika majlis perkahwinan.
Bagaimanapun tidak dinafikan spesies primat berkenaan dipercayai turut menimbulkan masalah kepada penduduk setempat seperti mengganas, mencuri makanan, pecah masuk rumah serta menyerang secara fizikal.
“Banyak tanaman petani dirosakkan oleh kawanan monyet yang bergerak dalam kumpulan besar. Orang ramai takut untuk berjalan-jalan di kampung.
“Jika kita cuba halau mereka, mereka serang kita balik,” kata salah seorang penduduk kampung dalam laporan itu.
Sumber: Oddity Central