Siakap Keli
indonesia haramkan ubat cecair
Gambar: Unsplash

Indonesia Dilapor Haramkan Semua Ubat Cecair Selepas Kes Kematian Kanak-Kanak

Kerajaan Indonesia mengumumkan pengharaman semua ubat jenis sirap dan preskripsi ubat cecair serta penjualan di kaunter selepas kematian yang melibatkan hampir 100 orang kanak-kanak baru-baru ini.

Menurut The Straits Times, kanak-kanak yang menjadi korban tersebut dilapor mengalami kecederaan buah pinggang akut pada tahun ini.

Larangan tersebut dibuat oleh pihak berkuasa kesihatan Asia Tenggara kerana berlakunya peningkatan yang tidak dapat dijelaskan sejak Januari dalam jumlah kematian kanak-kanak akibat kecederaan akut buah pinggang (AKI).

Perkara yang sama juga berlaku di Gambia selepas hampir 70 orang kanak-kanak meninggal dunia pada awal tahun ini yang dilapor berpunca daripada AKI.

Jurucakap Kementerian Kesihatan Indonesia, Syahril Mansyur berkata, agensi makanan dan ubat-ubatan Indonesia memaklumkan ubat sirap yang diimport ke Gambia itu tidak terdapat di negara-negara Asia Tenggara.

“Sehingga ke hari ini, kami telah menerima laporan sebanyak 206 kes dari 20 wilayah dengan 99 kematian.

“Sebagai langkah berjaga-jaga, kementerian meminta semua petugas kesihatan di semua fasiliti kesihatan untuk tidak memberi ubat cecair atau sirap buat sementara waktu.

“Kami juga meminta untuk menghentikan sementara penjualan ubat cecair atau sirap tanpa preskripsi sehingga siasatan selesai,” katanya dalam satu kenyataan ketika sidang akhbar baru-baru ini.

Hal ini kerana kes AKI dilihat meningkat secara mendadak bermula pada Januari tahun ini dan dikatakan semakin meningkat sejak akhir Ogos lepas.

“Malah, sejak akhir Ogos ini, kementerian dan pasukan pakar kanak-kanak telah menerima peningkatan laporan kecederaan buah pinggang akut,” kata kementerian itu.

Kebanyakan kes yang dilaporkan di Indonesia melibatkan mangsa yang berumur 18 tahun ke bawah, terutamanya kanak-kanak bawah umur lima tahun, tambahnya.

Hal ini kerana sebelum ini, kes tersebut hanya dilaporkan sebanyak satu atau dua kes sahaja sebulan.

Sumber: The Straits Times

 

Florence Nuar