Kerajaan Thailand Giatkan Usaha Pujuk “Owner” Bebaskan Gorila Berdekad Terkurung Dalam “Shopping Mall”
Pegawai kerajaan Thailand dilaporkan sedang berusaha keras untuk membebaskan seekor gorila yang dikenali sebagai Bua Noi yang tinggal di dalam pusat beli-belah Bangkok sepanjang jangka hayatnya, lapor The Thaiger.
Walau bagaimanapun, pemilik haiwan itu mengatakan bahawa dia akan menyerahkannya dengan harga 30 juta baht (RM3.7 Juta).
Memetik laporan Thaiger, Bua Noi yang berasal dari Jerman itu telah dibawa ke Thailand pada tahun 1988.
Haiwan tersebut dilaporkan telah menghabiskan hampir seluruh hidupnya di dalam kandang yang terletak di tingkat 7 pusat beli-belah berkenaan.
Haiwan itu juga dilaporkan merupakan satu-satunya gorila yang tinggal di Thailand.
Pasangan gorila berkenaan dikatakan telah mati lebih sedekad lalu, meninggalkannya keseorangan di dalam sangkar kaca berukuran 20 m x 10 m.

Naib Presiden Kanan Asia PETA, Jason Baker mengatakan bahawa zoo di dalam pusat membeli-belah itu dianggap sebagai salah satu tempat yang paling menyedihkan di dunia.
Menurutnya, gorila tersebut tidak diberikan kebebasan untuk melakukan aktiviti, ia diasingkan dan terkurung di antara dinding sel konkrit yang seakan sama seperti berada dalam sebuah penjara.
Petisyen terhadap Bua Noi supaya dipindahkan mendapat banyak sokongan dan perhatian di serata dunia.
Namun, Bua Noi masih lagi berada di dalam kandang yang sama lebih daripada 30 tahun.
Malah, pada tahun 2020, penyanyi terkenal Amerika Syarikat, Cher, pernah menulis surat kepada Menteri Alam Sekitar Thailand, Varawut Silpa-archa.
Dalam surat tersebut, Cher memaparkan keprihatinannya yang mendalam terhadap keadaan hidup Bua Noi.
Susulan daripada itu, seorang jurucakap mendedahkan bahawa Varawut mahu Bua Noi dipindahkan supaya dapat merasai pengalaman berada di habitat asalnya bersama-sama dengan gorila lain sebelum haiwan tersebut mati, lapor Thaiger.
Varawut telah mengadakan perbincangan dengan pemilik Bua Noi. Namun pemilik gorila tersebut hanya akan bersetuju untuk menyerahkan gorila tersebut pada harga 30 juta baht.
Selain itu, jurucakap itu berkata bahawa pihaknya berharap agar Bua Noi dipindahkan ke suatu tempat yang sesuai supaya ia dapat menjalani kehidupan yang lebih baik.

Menurutnya lagi, Jabatan Sumber Asli masih mengambil berat tentang kebajikannya sehingga kini.
Walau bagaimanapun, Bua Noi tidak mungkin dilepaskan ke kawasan hutan kerana ia tidak mampu bertahan.
Mengembalikannya semula ke Jerman dan mati di sekeliling gorila lain adalah lebih baik berbanding mati bersendirian dalam sangkar, kata jurucakap itu.
“Kami telah mengadakan pelbagai aktiviti sebelum ini untuk membebaskan Bua Noi seperti Running for Bua Noi. Kami juga telah mengumpul derma daripada penyokong Bua Noi.”
“Tetapi, pemilik Bua Noi enggan menjualnya dan meskipun dia menjualnya, harganya terlalu tinggi.”
“Kementerian tidak boleh berbuat apa-apa kerana Bua Noi adalah milik persendirian.”
“Pemiliknya memperoleh haiwan tersebut sebelum Thailand memperkenalkan undang-undang yang mengawal perdagangan dan pemilikan haiwan terancam atau liar,” kata penyokong Bua Noi.
Sejak Thailand menyertai Konvensyen Perdagangan Antarabangsa dalam Spesies Flora dan Fauna Terancam (CITES), gorila tidak lagi dibenarkan dibawa masuk ke Thailand.
Sumber: Thaiger