Siakap Keli
bela buaya tangani depresi
Gambar: Barcoft Media

‘Berkat’ Bela Buaya, Kemurungan Lelaki Ini Bertambah Baik Hingga Dipuji Doktor

Gara-gara bela buaya sebagai haiwan peliharaannya, kemurungan yang dialami seorang lelaki bertambah baik hingga dipuji doktor.

Kemurungan bertambah baik, seorang lelaki di Pennslyvania berterima kasih kepada seekor buaya yang merupakan haiwan peliharaannya kerana memberi sokongan emosi sejak beberapa tahun dahulu, lapor Mirror UK.

Lelaki yang dikenali sebagai Joseph Henney itu mula bersahabat dengan reptilia berkenaan selepas tujuh individu rapat dengannya meninggal dunia hanya dalam tempoh kurang tiga minggu pada 2017 lalu.

“Saya kehilangan tiga ahli keluarga dan empat kawan terbaik seumur hidup dalam masa dua minggu. Saya hadapi kemurungan yang besar dan juga amat mendalam.

“Doktor yang merawat saya mahu memberi ubat anti-kemurungan dan saya tidak mengambilnya,” katanya, memetik Mirror UK.

Lelaki berusia 69 tahun itu berkata doktor memberi pujian kepadanya kerana kesihatannya meningkat dalam masa sebulan dan dia memaklumkan bahawa buaya peliharaannya, Wally yang banyak membantunya.

“Jadi saya kembali dalam sebulan untuk penilaian lain dengan doktor dan dia bertanya apa yang saya lakukan serta memberi pujian bahawa saya telah menghadapinya dengan baik.

“Saya berkata saya meluangkan masa bersama buaya,” ujar Henney.

Doktor itu terlalu gembira dan terus membuat keputusan untuk mendaftarkan Wally sebagai haiwan sokongan emosi.

Walaupun mempunyai gigi yang tajam namun Wally tidak menggigit semua benda yang berada di depan matanya hidup-hidup, malah kini menjadi peneman tidur di katil tuannya.

Di sebalik ketakutan orang ramai terhadap pemangsa itu, Wally sebaliknya melakukan perkara yang tidak dilakukan oleh buaya sebenar seperti memberi pelukan kepada Henney dan membuatkannya ketawa.

“Dia sentiasa bersama saya, sentiasa menjaga perhatian saya dan membuat saya ketawa. Kami mendapati dia benar-benar dapat merasai emosi orang dan cuba menghiburkan mereka,” tambah Henney.

Wally membantu daripada segi emosi

Kredit: Twitter Brimil via Mirror UK

Difahamkan, Wally kini dicalonkan untuk anugerah Haiwan Kegemaran Amerika dan digunakan oleh Henny untuk mendidik anak-anak muda mengenai reptilia.

Wally mula dimiliki oleh Henney pada 2015 namun mereka menjadi rapat setelah lelaki itu mengalami kemurungan pada 2017 dan Wally menjadi teman sokongan untuknya menempuh fasa perit tersebut.

Dalam pada itu, Wally kini juga sedang membantu Henny melalui diagnosis kanser prostat dan rawatan kansernya dari semasa ke semasa.

Walaupun reptilia sepanjang 1.6 meter itu telah terbukti tenang dalam kumpulan manusia, namun Henney masih perlu mendapatkan kelulusan pihak berwajib jika dia mahu membawa keluar buaya sokongannya itu ke khalayak ramai.

Kisah Henney yang membela buaya sebagai teman pembantu sokongan emosi itu mendapat perhatian global dan sudah mula diterbitkan di beberapa agensi media sejak 2019 lalu.

Sumber: Mirror UK

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana