Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Jiran India Sanggup Bersihkan Kereta Selepas Main Mercun, Lelaki Ini Syukur Miliki Jiran Baik

india
Kredit: Threads mhrm_ysf
Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal

Sikap saling menghormati dan bertimbang rasa antara jiran tetangga sememangnya menjadi antara perkara yang mampu mengeratkan hubungan masyarakat berbilang kaum.

Iklan

Baru-baru ini, perkongsian seorang pengguna Threads, @mhrm_ysf, menarik perhatian apabila menceritakan sikap baik jirannya yang bukan sahaja membersihkan kawasan selepas bermain mercun sempena Deepavali, malah turut mencuci keretanya.

Menurutnya, tindakan tersebut membuatkan dia bersyukur kerana dikurniakan jiran yang baik hati dan mempunyai sikap bertimbang rasa.

Kredit: Threads mhrm_ysf

“Jiran saya selesai sahaja bermain mercun, terus membersihkan kawasan. Malah, kereta saya pun turut dicucinya. Alhamdulillah, dapat jiran yang baik dan mempunyai sikap bertimbang rasa. Selamat menyambut Deepavali kepada semua,” katanya.

Dalam hantaran berasingan, pengguna itu turut berkongsi bahawa sikap prihatin jirannya bukan hanya ditunjukkan ketika sambutan Deepavali.

Katanya, ketika sambutan Aidilfitri, jirannya sanggup mengalihkan kereta yang diletakkan di hadapan rumah ke bahagian belakang supaya tetamu mereka boleh menggunakan ruang parkir di hadapan rumah jiran berkenaan.

Menjengah ke ruangan komen, perkongsian itu turut mengundang reaksi pengguna lain yang berkongsi pengalaman mempunyai jiran berbangsa India yang baik hati.

“Jiran saya hendak bermain mercun pun siap menawarkan diri untuk mengalihkan kereta. Selepas itu, dia memberikan kari ayam. Satu nikmat apabila mempunyai jiran berbangsa India yang baik hati,” kata @waan_hafiz.

Sementara itu, @pija_hsn turut berkongsi pengalaman menyentuh hati apabila jirannya membantu membersihkan kawasan di hadapan rumah selepas kakaknya meninggal dunia.

“Betul. Jiran yang baik dan mempunyai sikap bertimbang rasa seperti ini memang menyenangkan. Jiran arwah kakak saya juga berbangsa India. Apabila mengetahui kakak saya meninggal dunia, dia terus membasuh dan menyapu jalan di hadapan rumah sehingga bersih. Bukan kawasan berturap jubin, tetapi jalan tar. Semua daun disapu supaya kawasan itu bersih. Kereta juga dialihkan dan diletakkan di belakang. Keesokan paginya, dia menghantar makanan kepada kami,” kongsinya.

Dalam pada itu, @marinerooo_91 menyifatkan memiliki jiran yang baik sebagai antara rezeki yang cukup besar dalam kehidupan.

“Antara rezeki yang hebat ialah mendapat jiran yang baik,” katanya.

Turut berkongsi pengalaman, @mehmetbaym menceritakan pengalamannya menaiki perkhidmatan e-hailing yang dipandu seorang wanita berbangsa India ketika hendak menunaikan solat Jumaat.

Menurutnya, pemandu berkenaan yang pada awalnya mendengar siaran radio berbahasa Tamil sanggup menukarnya kepada siaran radio IKIM bagi membantunya mengetahui sama ada azan sudah berkumandang atau belum.

Katanya, ketika itu waktu sudah lewat dan khutbah Jumaat telah bermula. Namun, pemandu berkenaan membiarkan siaran radio tersebut dimainkan sehingga mereka tiba di destinasi.

Dia turut meluahkan rasa kagum terhadap sikap saling menghormati yang ditunjukkan masyarakat berbilang kaum di Malaysia tanpa mengira perbezaan agama dan bangsa.

Sumber:Threads
Intipati
  • Pengguna Threads berkongsi jirannya membersihkan kawasan dan mencuci kereta selepas bermain mercun Deepavali.
  • Dia turut menceritakan jirannya pernah mengalihkan kereta bagi memudahkan tetamu ketika Aidilfitri.
  • Beberapa pengguna lain berkongsi pengalaman positif bersama jiran berbangsa India yang bertimbang rasa.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan