Seorang lelaki di India dilaporkan jatuh sakit selepas berbulan-bulan menghabiskan masa membersihkan sungai tercemar yang dipenuhi sampah.
Lelaki dikenali sebagai Bittu Tabahii itu mula membersihkan kawasan Sungai Ajnar yang tersumbat sejak Januari 2026 bagi mengurangkan pencemaran.
Sejak itu, dia berusaha mengeluarkan pelbagai jenis sampah termasuk botol plastik, beg plastik, rumpai dan sisa lain dari sungai.
Usahanya bagaimanapun bukan sesuatu yang mudah kerana dia perlu berdepan air tercemar serta timbunan sampah yang semakin mereput.
Lelaki Jatuh Sakit Bersihkan Sungai Tercemar Di India

Menurut laporan, Bittu menggunakan kelengkapan perlindungan asas seperti sarung tangan dan but ketika menjalankan kerja pembersihan sungai.
Namun, terdapat juga keadaan apabila dia membersihkan sungai menggunakan tangan kosong, sekali gus meningkatkan risiko terkena bahan pencemar.
Pendedahan berulang kepada air tercemar dan sampah yang mereput boleh menyebabkan kulit bersentuhan dengan bakteria berbahaya serta pelbagai mikroorganisma.
Keadaan tersebut berpotensi mengakibatkan jangkitan kulit dan masalah kesihatan lain, terutama apabila seseorang tidak menggunakan perlindungan mencukupi.
Perkongsian video terbaharunya di media sosial turut mengundang perhatian ramai yang bimbang dengan keadaan kesihatan lelaki tersebut.

Rata-rata pengguna media sosial mendoakan agar Bittu segera sembuh selepas mengetahui keadaan yang dialaminya sepanjang menjalankan kerja pembersihan.
Pada masa sama, ramai turut meluahkan rasa kesal terhadap sikap segelintir masyarakat yang masih membuang sampah ke dalam sungai.
Mereka berpendapat usaha Bittu tidak sepatutnya menjadi tanggungjawab seorang individu semata-mata, sebaliknya memerlukan kesedaran seluruh masyarakat.
Seorang pengguna media sosial turut berharap orang ramai lebih bertanggungjawab menjaga kebersihan sungai dan tidak mengulangi perbuatan mencemarkan sumber air.
“Jaga diri dan saya doakan agar anda segera sembuh! Saya benar-benar berharap orang ramai mempunyai kesedaran sivik untuk menjaga kebersihan dan sekurang-kurangnya berhenti mencemarkan sungai berulang kali,” tulisnya.
Seorang lagi pengguna pula mencadangkan agar kutipan dana awam dilakukan bagi membantu Bittu mendapatkan kelengkapan perlindungan lebih sesuai.

“Kita benar-benar perlu memulakan kempen GoFundMe untuknya supaya dia mampu membeli sut perlindungan yang lebih lengkap,” katanya.
Usaha Bittu membersihkan sungai tercemar itu memperlihatkan pengorbanan besar yang dilakukan, namun keselamatannya juga tidak boleh dipandang ringan.

