Siakap Keli
sofizah johan majlis tilawah
Gambar: FB Syafiq Syahmi Sazali

Hanya Berlatih Taranum Dalam Kereta, Ini Rahsia Sofizah Mousin Johan Majlis Tilawah

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Nama Sofizah Mousin menjadi perbualan ramai setelah diumum menjadi johan pada Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-62 malam tadi.

Menurut laporan Bernama, Sofizah meraih markah sebanyak 89.66 peratus sekali gus membawa pulang wang tunai dan piala.

Menerusi penulisan warganet bernama Syafiq Syahmi Sazali di Facebook, semangat kecintaan yang dimiliki Sofizah membuatkan dia meneruskan perjuangannya dalam menghafal al-Quran.

Apabila ditanya tips yang digunakan untuk memantapkan bacaan taranum, dia berkata dirinya sentiasa jadikan al-Quran sebagai kitab panduan utama dalam kehidupan.

“Cintai al-Quran, sentiasa jadikan al-Quran itu sebagai kitab panduan utama. Percaya bahawa setiap huruf yang kita baca itu Allah kurniakan pahala.

“Allah juga akan kurniakan ketenangan dalam kehidupan,” katanya lagi.

Kehebatan Sofizah dikagumi umum namun ramai yang tidak mengetahui bahawa dia merupakan seorang guru mata pelajaran geografi dan juga ibu kepada dua orang anak.

Disebabkan kesibukan bekerja sebagai seorang guru dan ibu, Sofizah banyak melatih diri semasa memandu. Dia memanfaatkan waktu tersebut kerana tidak mempunyai masa terluang yang lain.

“Biasanya saya buat latihan taranum dalam kereta, semasa memandu. Saya memang akan buat latihan suara sendiri setiap hari,” kata Sofizah memetik perkongsian di laman Facebook.

Betapa indahnya apabila menaiki kenderaan bacaan al-Quran dibaca oleh ibunya sendiri tanpa memerlukan radio untuk menenangkan hati ketika menghadapi jalan yang sesak.

Kalahkan negara lain, jadi trending

Dalam pada itu, anak kelahiran Sabah tersebut ‘memecahkan’ dunia internet dengan menjadi trending di media sosial atas kejayaan dinobatkan sebagai juara mengalahkan negara lain.

Menyentuh latar belakangnya, Sofizah bukanlah seorang guru Pendidikan Islam namun sejak usia remaja dia amat meminati kitab Al-Quran dan mempelajarinya dengan lebih mendalam.

Di saat anak muda lain menghabiskan waktu remaja dengan membuat hal-hal duniawi, Sofizah sebaliknya memanfaatkan masa dengan sebaiknya, mempelajari taranum al-Quran dengan memasuki kelas mengaji.

Sofizah juga turut berguru dengan Ustaz Anwar Ghazali dan Ustaz Yahya Daud bagi memantapkan bacaan serta memperbaiki hafalan.

Keluarga juga turut memainkan peranan utama untuknya meneruskan perjuangan dalam menghafal al-Quran dan itu merupakan sistem sokongan terkuat yang boleh mempengaruhi minda kanak-kanak.

Antara penyebab dia mempunyai kekuatan untuk meneruskan perjuangan adalah peranan yang dimainkan oleh keluarganya dengan memberi sokongan yang kuat untuknya.

Sumber: Facebook / Syafiq Syahmi Sazali

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana