Siakap Keli

“Selalu Dibanding Dengan Adik Beradik, Kecewa Mak Ayah Tak Hargai Result Aku Walau Ada A..”

Dulu-dulu masa masih ada lagi peperiksaan, hari nak ambil keputusan adalah hari yang paling tak disukai oleh segelintir pelajar sekolah. Sebab lepas dapat je keputusan, mesti akan ada perbandingan dengan kawan-kawan lain. Tak cukup perbandingan dengan kawan-kawan kat sekolah, sampai ja rumah dibandingkan pula dengan adik beradik, sepupu dan anak jiran. 

Aku seorang bekas pelajar yang pernah merasai peritnya dibandingkan keputusan peperiksaan. Walaupun sudah berusaha sehabis baik

Begitulah nasib aku dulu sebagai seorang anak lelaki sulung dalam keluarga dan mempunyai enam orang adik beradik. Walau pun dah usaha macam-macam, tetap juga result peperiksaan yang dipandang oleh mak dengan abah. Aku sedar, sebagai anak sulung dalam keluarga, aku mempunyai tanggungjawab yang besar. 

Disebabkan itulah aku sanggup berkorban banyak perkara untuk bantu keluarga. Pagi-pagi buta lagi aku dah bangun dan angkut air perigi untuk mak masak dan adik-adik mandi. Bila cuti je, aku tolong mak dengan abah berkebun. Dekat sekolah pula, aku selalu tolong cikgu dan semasa minggu peperiksaan tiba aku berjaga sampai lewat malam semata-mata untuk ulang kaji pelajaran. 

Semua usaha aku dah lakukan sehabis baik, tapi bila keputusan peperiksaan keluar, aku hanya dapat keputusan yang biasa-biasa saja. Mak dengan abah tak pandang pun dan selalu bandingkan dengan adik-adik yang lebih cemerlang. Adik-adik yang mampu ke luar negara sahaja dicanang, anak sulung yang hanya ke universiti biasa, langsung tidak dibanggakan. 

“Apa yang kau banggakan sangat setakat 2 A tu, tengok adik kau semuanya A itu pasal dia dapat sambung belajar di luar negara….” 

“Dari dulu, itu jelah keputusan kau, tak pernah berubah, cubalah kau usaha lebih sikit biar macam anak maklong kau si Aina tu, belajar jadi doktor dia sekarang. Kau nak jadi apa?”

Sekarang aku buat bisnes biasa-biasa, kecil-kecilan orang cakap. Tapi Alhamdulillah, serba serbi cukup untuk sara keluarga. Selain itu, aku turut rasa bahagia dan gembira sebab dapat duduk dekat dengan mak dan abah sambil-sambil boleh jaga mereka yang sudah pun menjangkau usia tua.  

Sebenarnya, setiap anak-anak, murid, pelajar atau apa jua gelaran yang diberikan, mereka semua mempunyai potensi masing-masing tanpa ambil kira pencapaian akademik mereka. Lumrah manusia itu kan saling melengkapi, jika semua berjaya dalam akademik, siapa pula yang akan bercucuk tanam, menternak dan sebagai yang lebih menjurus ke arah kemahiran, kan? 

Sejak tahun lalu, Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) telah pun dimansuhkan dan telah bertukar kepada Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang disifatkan sebagai pendekatan terbaik untuk membantu perkembangan pelajar secara holistik. Oleh itu, PBS boleh kenal pasti potensi pelajar tanpa mengambil kira pencapaian akademik mereka. 

Pensyarah Kanan Pusat Kepimpinan dan Polisi Pendidikan, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Azlin Norhaini Mansor juga menyokong PBS kerana memberi fokus kepada jasmani, emosi, rohani dan intelek secara seimbang berbanding pentaksiran sebelum ini yang lebih fokus kepada akademik. 

“Apabila kita bertukar kepada PBS maka akan berkuranglah amalan perbandingan dan persaingan seperti 5A lebih baik daripada 4A, maka mungkin tidak akan berlaku situasi ramai murid yang mahu memperoleh 5A dalam UPSR,” jelasnya, memetik Bernama. 

Jelaslah, PBS dapat mengurangkan gejala perbandingan antara pelajar secara tidak langsung ia juga dapat menjaga emosi dan mental para pelajar dari sebarang tekanan melibatkan akademik semata-mata. Setiap murid mempunyai kelebihan mereka masing-masing sama ada akademik, kesenian dan banyak lagi ilmu di atas muka bumi ini. Oleh itu, setiap murid perlu diberi peluang menyerlah dengan bakat dan potensi mereka sendiri. 

Diskriminasi & perbandingan tinggal kesan hingga dewasa

Sama ada kita sedar atau tidak, amalan diskriminasi dan perbandingan meninggalkan kesan kepada mereka hingga dewasa. Begitu juga dengan hasil pendidikan, kesannya bukan esok atau lusa, tapi kita akan dapat lihat di masa 20 tahun akan datang. Ibu bapa adalah peranan penting untuk membentuk, menyokong dan menilai potensi setiap anak-anak bukan semata-mata keputusan peperiksaan yang tertulis di atas helaian kertas kerana mereka mempunyai potensi yang berbeza. 

“Everyone is a genius, but if you judge a fish by the ability to climb a tree, it will live its whole life believing that it is stupid.” – Albert Einstein

Cebisan kata dari ahli fizik terkemuka di atas menjadi penutup untuk hari ini dengan harapan semua ibu bapa dan masyarakat lebih mengambil peduli tentang bakat yang lebih luas dimiliki setiap anak-anak mereka bukan hanya sekadar akademik semata-mata.

“Jangan paksa mereka terbang jika mereka bukan enggang, jangan paksa mereka berenang jika mereka bukan seekor kaloi”.

Faiz Mustafa