Siakap Keli

Pelan Hala Tuju Warner Music Malaysia di Peringkat Serantau, Kejayaan Artis Tempatan Bakal Pacu Strategi Pengembangannya

Pelan Hala Tuju Warner Music Malaysia di Peringkat Serantau, Kejayaan Artis Tempatan Bakal Pacu Strategi Pengembangannya

Kuala Lumpur, 30 April 2024 – Warner Music Malaysia menetapkan strateginya dalam memartabatkan muzik Malaysia ke peringkat serantau. Pengumuman penting itu dibuat syarikat rakaman terkemuka itu semasa penganjuran Rumah Terbuka Raya ‘Raikan Raya Bersama Warner Music Malaysia’ 2024.  Bersempena sambutan Raya, Warner Music Malaysia dengan kerjasama Aloft Kuala Lumpur Sentral sebagai penaja tempat rasmi, menjemput 25 kanak-kanak dari rumah anak yatim, Rumah Titian Kaseh, untuk meraikan kanak-kanak kurang bernasib baik itu dan menyuburkan lagi keberkatan Aidilfitri. Majlis itu dimeriahkan lagi dengan persembahan istimewa daripada artis tempatan Warner Music seperti Syamel, Amsyar Leee, Layla Sania, Zynakal, TUJU dan Luqman Podolski. 

Dinesh Ratnam, Pengarah Urusan Warner Music Malaysia berkata “Selama ini, kita telah menyaksikan ramai bakat yang dilahirkan dan berpotensi tinggi di Malaysia. Kejayaan yang diraih artis kami di peringkat tempatan dan serantau menerusi platform penstriman muzik membuktikan bahawa terdapatnya permintaan untuk bakat tempatan kita di luar negara. Artis Malaysia sangat berbakat, dan tiadanya alasan yang mengelakkan kita daripada meraih pencapaian lebih besar di arena muzik serantau, malah di peringkat global.”

warner music malaysia

“Dengan memupuk ekosistem yang berkembang maju, matlamat kami adalah untuk melonjakkan industri muzik tempatan ke tahap yang lebih tinggi. Ia akan diterjemahkan menerusi usaha kami untuk membuka ruang dan mengkomersialkan kreativiti artis kita, menyokong keaslian karya mereka dan mengembangkan bakat mereka. Ia juga akan merangkumi inisiatif kami untuk membawa karya luar biasa ini supaya dapat menyentuh hati khalayak pendengar serantau dan global; mengenal pasti dan mewujudkan peluang baru untuk memperkasakan artis kita, serta memperluaskan jangkauan mereka. Pada dasarnya, visi Warner Music Malaysia adalah untuk membina landskap yang dinamik dan terus mekar di mana kreativiti dapat dikembangkan, muzik yang hebat bergema, dan artis kami bukan sahaja kekal bertahan tetapi terus berkembang maju,” katanya.

Gelombang Industri Muzik Malaysia

Dengan asas kejayaan yang kukuh, Warner Music Malaysia menyerlahkan pencapaian mengagumkan artis Malaysia dalam pelantar digital penstriman muzik popular, Spotify. Ini termasuk kejayaan Kugiran Masdo yang mengambil tempat #1 untuk Artis Tempatan Terbaik tahun ini, sementara Luqman Podolski berada pada #3. Malah, Carta Border Beats jelas menonjolkan lagi bakal Malaysia, dengan ramai artis tempatan mencipta nama, antaranya ChronicalZ yang berjaya melonjak ke tempat #1. 

“SAH” nyayian Sarah Suhairi dan Alfie Zumi juga mencatat kejayaan berterusan selepas menduduki #1 dalam Carta RIM Malaysia pada bulan Mac dan mencapai sebanyak 1.8 bilion tontonan di TikTok. Kejayaan dalam carta berkenaan adalah luar jangka, dengan “SAH” mencecah Top 50 di carta Spotify Indonesia, sekali gus membuktikannya sebagai lagu Malaysia paling popular di Spotify Indonesia untuk tahun 2024.

 

warner music malaysia

Merentasi Sempadan, Mencipta Rekod Baharu

Melihat Indonesia sebagai pasaran utama dengan potensi besar selepas kejayaan produk Malaysia dalam industri kreatif seperti Upin & Ipin dan Siti Nurhaliza, Warner Music Malaysia mencipta satu kejayaan baharu menerusi Kugiran Masdo, kumpulan muzik Malaysia yang unggul di carta tertinggi di Spotify Indonesia, pencapaian terbaik dalam tempoh empat tahun terakhir bagi artis Malaysia. Pencapaian yang melengkapi kejayaan fenomena “SAH” dendangan Sarah Suhairi dan Alfie Sumi di Indonesia itu membuktikan potensi lebih besar muzik Malaysia untuk memberi kesan dominan kepada peminat dan pendengar, baik di peringkat tempatan, mahupun serantau.

Memperkasa Kreativiti Malaysia – Dari Peringkat Tempatan ke Serantau

Hasil daripada perkembangan yang memberangsangkan ini, Warner Music Malaysia bersedia untuk melaksanakan pelan strategik dengan pendekatan holistik bagi mengkomersialkan muzik Malaysia secara lebih berkesan dan mampan. Dengan memanfaatkan rangkaian serantau dan globalnya, syarikat rakaman terkemuka itu berhasrat mempromosikan artis Malaysia dengan lebih agresif lagi di peringkat antarabangsa, selain mewujudkan kerjasama unik dengan rakan serantau serta globalnya bagi mewujudkan pertukaran idea muzik yang dinamik. 

Menyedari peranan besar yang dimainkan peminat fanatik, syarikat rakaman ini sedang giat melaksanakan inisiatif bagi mewujudkan pengalaman berpaksikan peminat dalam usahanya memupuk hubungan lebih kukuh antara artis dan peminat. Ini termasuk platform baharu yang diumumkan baru-baru ini yang direka khusus untuk merapatkan jurang antara artis dan penyokong fanatik mereka. Artis serta peminat mahukan hubungan lebih erat dan ia membuka peluang pertumbuhan baharu yang belum diterokai.

warner music malaysia

Dalam usaha menjadikan negara ini sebagai destinasi utama artis global untuk meneroka pasaran serantau, Warner Music Malaysia menzahirkan komited teguhnya untuk menyokong dan melabur dalam persada muzik langsung (live) di Malaysia. “Dengan mewujudkan kerjasama dengan pihak berkepentingan dalam ekosistem muzik live, kami menyasarkan untuk menawarkan sokongan strategik bagi menarik bakat antarabangsa berprestasi supaya mempersembahkan konsert di Malaysia, seterusnya dapat meningkatkan reputasi negara sebagai hab untuk pengalaman muzik live yang tidak dapat dilupakan,” kata Dinesh.

Berita Menggembirakan

Warner Music Malaysia memberi jaminan tentang prospek masa depan yang positif bagi muzik Malaysia. Peminat boleh menjangkakan album baharu yang amat dinanti-nanti daripada artis utama seperti Bunga dan Masdo dalam tempoh 12 bulan akan datang. Terdapat juga kerjasama rentas sempadan berterusan seperti lagu terbaharu daripada Luqman Podolski x Eclat Story berjudul “Menanti”, lagu yang bakal disiarkan tidak lama lagi kolaborasi Amsyar Leee x Fadhilah Intan, serta beberapa lagi yang sedang dalam pembikinan. Selain itu, Warner Music Indonesia juga telah melancarkan lawatan muzik sekolah menengah disertai oleh artis Warner Music Malaysia, yang mana ini akan membuka peluang lebih besar kepada muzik Malaysia untuk terus bertapak teguh di pasaran Indonesia, seterusnya mengukuhkan lagi daya tarikan serantaunya.

warner music malaysia

Selain memperjuangkan muzik tempatan, di peringkat antarabangsa, peminat di seluruh dunia menantikan pelancaran album terbaharu daripada Dua Lipa pada 3 Mei 2024. 

Nurul Naqiyah