Budak Perempuan Nyaris Maut, Leher Tertusuk Besi Panjang
Seorang budak perempuan dilapor terselamat selepas terbabit kemalangan yang menyebabkan sebatang tiang besi menembusi leher dan mulutnya dalam kejadian di Bhulanpur, di daerah Kheri di Uttar Pradesh, India, lapor Mirror UK.
Doktor bedah berjaya mengeluarkan batang besi pada leher gadis yang berusia lapan tahun dalam pembedahan yang mengambil masa selama 35 minit.
Pakar perubatan tempatan berkata, gadis itu bernasib baik kerana besi yang menembusi lehernya tidak terkena kepada saraf penting dan saluran darah ke otaknya.
Malahan mangsa masih lagi boleh bercakap dalam masa lapan jam itu.
Mangsa dilaporkan masih dalam proses pemulihan di rumahnya sendiri dan dikatakan juga bakal pulih sepenuhnya daripada luka tusukan besi tersebut.
“Ia adalah kes yang sangat menyedihkan pernah ditemui dalam kerjaya profesional saya,” kata Dr Rajkumar Koli, pakar yang mengetuai operasi tersebut.
Dilaporkan bahawa mangsa sedang bermain di kawasan pembinaan tersebut pada ketika itu dan telah terjatuh ke atas batang besi yang menonjol keluar.
Besi itu difahamkan menembusi rahang bawahnya dan keluar melalui mulutnya.
Rakan kepada mangsa dilaporkan terus bergegas berlari mendapatkan keluarganya sejurus kejadian itu berlaku.

Mereka kemudiannya memotong sebahagian batang besi itu dan membawanya ke hospital daerah terdekat yang berada 15 kilometer di Motipur, kira-kira jam 6 petang pada 4 Oktober lalu.
“Memandangkan keadaan gadis itu yang kritikal, saya dipanggil untuk melakukan pembedahan kecemasan.
“Saya memeriksa nadi pesakit dan memahami bahaya yang dialaminya. Saya memberitahu ibu bapa gadis itu untuk membawanya ke Kolej Perubatan Lucknow, kira-kira 140 kilometer jauh,” kata Dr Rajkumar lagi.

“Tetapi ibu bapa gadis itu tidak berkemampuan untuk membawa gadis tersebut sejauh itu. Mereka kemudian meminta saya untuk terus menjalankan pembedahan tersebut.
“Ia adalah situasi yang sangat mencabar kerana kemudahan x-ray di hospital daerah tidak tersedia selepas pukul 5 petang.
“Saya kemudian segera memaklumkan kepada pakar bius untuk menggunakan bius tempatan dan memulakan pembedahan bagi menyelamatkan saluran darah utama di sekitar kawasan yang ditembusi.
“Rod besi itu telah tersangkut dengan kuat dan cara untuk melonggarkannya ialah saya terpaksa membuat potongan sepanjang 1 sentimeter kemudian menarik rod besi itu keluar perlahan-lahan.
“Prosedur itu hanya mengambil masa kira-kira 35 minit,” sambung Doktor itu.

Jelasnya lagi, gadis itu bernasib baik kerana rod besi tersebut tidak tersangkut di salur darah ke otak dan tekaknya.
Pembedahan itu berjalan dengan lancar dan selepas tiga hari mangsa telah dibenarkan keluar dari wad.
“Selepas rod besi itu berjaya dikeluarkan, gadis itu mula boleh bercakap selepas lapan jam operasi pembedahan itu dilakukan.
“Sekarang gadis itu benar-benar dalam proses pemulihan di rumahnya dan boleh bercakap dan makan secara normal,” akhiri Dr Rajkumar.
Sumber: Mirror UK