Elwin Bawa Nama Malaysia Bersaing Dengan Kucing Dari Seluruh Dunia
Kucing baka British Shorthair yang bernama SC Zainiza Elwin bakal membawa nama Malaysia ke peringkat dunia untuk bersaing dengan kucing dari seluruh dunia di Federation International Feline World Show 2022 (FIFe 2022) di Mechelen Belgium, lapor Astro Awani.
FIFe merupakan sebuah pertunjukan kucing peringkat antarabangsa tahunan anjuran Felis Belgica. Pertunjukan itu bakal berlangsung bermula 29 sehingga 30 Oktober ini.
Haniza Kong, pemilik kucing berkenaan ketika dihubungi oleh Astro Awani memaklumkan bahawa dia kini sudah berada di Mechelen.
Si bulu yang bernama Elwin itu dilaporkan antara kucing terpilih yang layak menyertai pertunjukan peringkat antarabangsa berkenaan.

“Sebelum ini, Elwin pernah sertai banyak pertunjukan kucing di Malaysia. Sejak usia lima bulan lagi, saya dan suami (Mohd Zain) selalu membawa Elwin berada di khalayak ramai.
“Pada November 2016, Elwin sudah dibawa bertanding di FIFe International Show di Jakarta. Waktu itu Elwin masih berusia setahun enam bulan.
Menurut Haniza lagi, Elwin merupakan baka kucing jenis Pedigree British Shorthair pertama lahir di Malaysia dan bertanding di luar negara.
Elwin juga dikatakan mudah menyesuaikan diri dengan suasana baharu hasil daripada beberapa kali pertunjukan yang disertainya.
Selain pernah dinobatkan sebagai juara di FIFe International Pedigree, Elwin merupakan baka kelahiran Malaysia yang pertama berjaya meraih pencapaian tertinggi dalam pertunjukan tersebut.

“Sifatnya yang tenang ditambah wajahnya yang comel mungkin menambat hati para juri melihatnya.
“Elwin juga pernah memenangi di beberapa pertunjukan kucing anjuran FIFe- KKM International Show termasuk dinobatkan sebagai Best Malaysian Breed sebelum ini.
“Doakan Elwin berjaya menambat hati juri di sini pula, Insya-Allah,” katanya kepada Astro Awani.
Selain Haniza, Elwin juga turut ditemani oleh personal groomer, Jennie Ying dari Cavieryn Cattery.
Sumber: Astro Awani