NASA Seru Orang Ramai Bantu Kumpul Data Untuk Kaji Fenomena ‘Sprite’
Agensi Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA) dilapor memohon bantuan orang awam untuk mengumpul data dengan cara menangkap gambar bagi mengkaji satu fenomena yang dikenali sebagai ‘sprite’.
Kejadian ‘sprite’ merupakan satu fenomena elektrik yang paling kurang difahami di atmosfera bumi, di mana kejadian itu akan memperlihatkan pancaran kilat tinggi di atas ribut dan figura lembayung berkelip keluar dan masuk dari kewujudannya.
Menurut NASA lagi, projek sains awam terbaharu NASA, Spritacular (disebut sprite-tacular), bakal memanfaatkan sumber dari orang ramai dalam kajian berkenaan kejadian ‘sprite’ dan ‘Transient Luminous Events (TLE)’.
TLE termasuk dalam pelbagai fenomena elektrik yang berlaku di atas ribut petir dan menghasilkan cahaya kilat. Projek sains awam baharu ini bertujuan untuk menghubungkan para saintis dengan orang awam yang mahu hasil rakaman gambar mereka menjadi penyumbang kepada kajian saintifik.
“Ramai orang telah berjaya menangkap gambar ‘sprite’ yang cantik, tetapi ianya sekadar dikongsi melalui internet dan kebanyakan komuniti saintis tidak menyedari akan hasil gambar berkenaan,” kata Dr. Burcu Kosar, ahli fizik angkasa di Pusat Penerbangan Angkasa Goddard NASA di Greenbelt, Marryland.
“Spritakular akan merapatkan jurang ini dengan mencipta pangkalan data dari sumber orang ramai yang pertama berkenaan ‘sprite’ dan TLE lain. Data itu kemudian boleh diakses dan tersedia untuk penyelidikan saintifik,” sambung Dr. Burcu yang merupakan penyelidik utama bagi spritakular.
Kejadian ‘sprite’ berlaku pada ketinggian kira-kira 50 batu (80 kilometer), tinggi di atas paras ribut petir. Ia muncul beberapa saat selepas sambaran petir berwarna kemerah-merahan secara tiba-tiba boleh menjadi dalam pelbagai bentuk.
Selalunya ianya menggabungkan kepulan meresap dan sulur yang terang. Sesetengah ‘sprite’ cenderung untuk memancar di atas ribut, memancarkan dan memadamkan satu demi satu. Persoalan tentang bagaimana dan mengapa ianya terbentuk masih tiada jawapan yang boleh dikemukakan oleh penyelidik.

Laporan saksi berkenaan cahaya kilat pelik di atas ribut petir telah wujud sejak ratusan tahun lalu. Tetapi pada tahun 1989 kejadian pertama seumpama itu berjaya ditangkap oleh kamera.
Seorang penyelidik dari Universiti Minnesota sedang menguji kamera TV bercahaya rendah untuk misi penerbangan roketnya yang akan datang. Secara tidak sengaja, kamera tersebut telah menangkap gambar bukti pertama yang dipercayai sebagai ‘sprite’.
“Ia bukan kamera resolusi atau kamera pantas. Kamera itu hanya menangkap dua gumpalan yang bercahaya di ribut petir berdekatan,” kata Dr. Burcu.
Para saintis menggelar peristiwa yang sukar difahami ini sebagai ‘sprite’ kerana merujuk kepada makhluk mitos seperti dalam dongeng cerita rakyat Eropah.
Memandangkan jenis TLE yang lain telah ditemui, konvensyen penamaan yang menyeronokkan itu telah terhenti. Hari ini, saintis telah mengkaji ELVES, Halos, Jet Biru, Jet Gergasi dan banyak lagi.
Namun pengkaji masih mempunyai terlalu sedikit maklumat terhadap pemerhatian ‘sprite’ dan TLE yang lainnya. Banyak yang pengkaji masih tidak tahu dan beberapa soalan utama masih tiada jawapan khusus baginya.
Sumber: NASA