Siakap Keli
Gambar Hiasan: Bernama

“Pandai Bodek Cikgu Dapatlah Markah Tinggi,” PBS Dianggap Berat Sebelah & Pilih Kasih Sebab Ramai Tak Tahu Perkara Ni

“Pandai Bodek Cikgu Dapatlah Markah Tinggi,” PBS Dianggap Berat Sebelah & Pilih Kasih Sebab Ramai Tak Tahu Perkara Ni

Pelbagai perubahan yang membawa kepada kebaikan telah dilakukan di dalam sistem pendidikan di dalam negara kita. Antara yang menjadi perhatian sejak ianya diperkenalkan adalah Pentaksiran Berasaskan Sekolah(PBS) yang mula dilaksanakan pada 2011. PBS sebenarnya melibatkan pelajar-pelajar dari peringkat sekolah rendah sehinggalah ke pelajar tingkatan tiga.

Bagi yang belum maklum, PBS bukan sahaja memfokuskan mengenai akademik, tapi turut meliputi penglibatan dan jasmani seseorang pelajar ketika melalui proses persekolahan. Oleh yang demikian, markah pelajar tidak lagi bergantung pada peperiksaan awam, namun akan diberikan markah oleh guru mereka.

PBS Berat Sebelah & Pilih Kasih

Disebabkan markah seseorang pelajar itu dikatakan akan diberikan oleh guru, maka timbul beberapa spekulasi mengenai PBS yang berkemungkinan berat sebelah dan pilih kasih. Apa tidaknya, guru mempunyai sasaran untuk mencapai gred yang tinggi, jadi ada kemungkinan guru hendak memastikan pelajar-pelajarnya dapat markah tinggi supaya grednya juga tinggi.

Bukan itu sahaja, ada juga beranggapan bahawa guru akan pilih kasih untuk memberikan markah yang tinggi kepada pelajar yang disukai ataupun yang rapat dengannya sahaja. Jadi tidak hairanlah sekiranya akan timbul tanggapan seperti ini:

“Pandai bodek cikgu dapatlah markah tinggi, yang malu nak bersuara tu sampai sudah markah paling rendah”

Walau bagaimanapun, tanggapan tersebut boleh dianggap sebagai tidak berasas kerana sistem pendidikan ini turut dihadirkan dengan beberapa inisiatif untuk guru. Dengan beberapa perkara ini, PBS tidak lagi dilihat akan dikaitkan dengan isu berat sebelah atau pilih kasih.

Gambar Hiasan via Bernama

Penjaminan Kualiti

Penjaminan kualiti sangat penting dalam sistem pendidikan PBS kerana semua hasil kerja murid akan difailkan sebagai bukti yang murid telah menguasai kemahiran yang diajar. Penjaminan kualiti bagi pelaksanaan PBS dibahagiakan kepada empat elemen iaitu pementoran, penyelarasan, pemantauan dan pengesanan. Pementoran adalah proses untuk membantu guru mengikut prosedur dan peraturan yang telah ditetapkan manakala penyelarasan adalah proses untuk seragamkan skor merujuk kepada Standard Prestasi yang telah disediakan. Bagi memastikan PBS tidak dianggap berat sebelah dan pilih kasih, proses pemantauan turut dilaksanakan agar pelaksanaan PBS tidak menyeleweng dari arahan pelaksanaan PBS. Seterusnya adalah proses pengesanan yang akan melibatkan guru dan pegawai KPM untuk memastikan keberkesanan instrumen pentaksiran yang digunakan.

Bank Soalan PBS

Agar tidak timbul sesebuah sekolah dianggap sering memberikan soalan terlalu mudah, pihak KPM juga akan menyediakan bank soalan PBS yang boleh diguna pakai oleh semua sekolah di seluruh negara. Walau bagaimanapun, setiap sekolah tidak akan mendapat soalan yang sama, namun tingkat kepayahannya adalah setara. Jadi, pelajar akan dinilai menurut soalan-soalan yang telah disediakan kepada para guru

Perbincangan Dengan Guru Lain Untuk Penilaian

PBS juga tidak boleh dianggap berat sebelah atau pilih kasih kerana sebelum pemarkahan dibuat, guru yang menilai perlu mengadakan sesi perbincangan dengan guru yang lain. Perkara ini bagi memastikan keputusan atau penilaian yang dibuat oleh seseorang guru adalah sama seperti yang difikirkan oleh guru yang lain.

Gambar Hiasan via Bernama

Tiada Lagi Perbandingan Gred Antara Pelajar

Dengan pelaksanaan PBS, pelajar tidak lagi tertumpu kepada peperiksaan, namun penilaian menyeluruh akan dilakukan. Bukan sahaja akademik, pelajar perlu melibatkan diri dalam semua aktiviti di sekolah bagi memastikan guru dapat mengenal pasti kelemahan seseorang pelajar dan dapat diatasi dengan segera.

Para guru akan dipertanggungjawabkan untuk menilai pelajar menggunakan Tahap Penguasaan (TP) dari satu sehingga enam. Bagi setiap tahap akan melambangkan kefahaman seseorang murid terhadap sesuatu perkara. Sebagai contoh, apabila guru membuka topik mengenai sebuah bag, murid yang menyatakan ianya adalah bag akan diberikan TP 1 dan sekiranya ada murid menjelaskan dengan lebih mendalam mengenai beg tersebut, guru akan menilainya dengan TP 2 dan seterusnya.

PBS Masih Berat Sebelah Dan Pilih Kasih?

Setelah mengetahui dengan lebih terperinci mengenai pelaksanaan PBS, ibu bapa dan orang ramai tidak lagi perlu bimbang sekiranya akan timbul isu berat sebelah dan pilih kasih. Setiap proses penilaian yang dijalankan akan dipantau bagi memastikan pelaksanaan PBS tidak menyeleweng dari tujuan asal.

Kebaikan melaksanakan PBS adalah dapat mengenal pasti kelemahan seseorang murid itu dengan lebih awal dan para guru boleh memfokuskan kepada bahagian tersebut. Melalui PBS, tidak hairanlah sekiranya lebih ramai pelajar yang serba boleh dilahirkan kerana telah dibentuk menerusi pelbagai aspek.

Walau bagaimanapun harus diingatkan yang penilaian seseorang murid boleh terjejas sekiranya tidak hadir ke sekolah. Jadi, peranan ibu bapa perlu memastikan anak-anak sentiasa memenuhi kehadiran ke sekolah agar guru dapat menilai anak-anak mereka dengan lebih optimum.

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa