Pemain Pertahanan Arsenal FC, Pablo Mari Cedera Ditikam Penyerang Di Pusat Beli-Belah
Pemain pertahanan Arsenal FC, Pablo Mari telah dimasukkan ke hospital berikutan serangan tikaman yang membabitkan seorang mangsa maut, lapor Sky Itali.
Mari, 29, merupakan salah seorang daripada enam mangsa yang diserang ketika sedang membeli-belah bersama keluarganya di pusat beli-belah Assago di Milan, Itali.
Memetik Sky News, beliau kini dipinjamkan ke kelab Serie A Monza.

Susulan daripada serangan tersebut, Mari dilaporkan berada dalam keadaan sedar dan tidak mengalami kecederaan yang serius.
Tambahan lagi, Mari dijangka menjalani pembedahan untuk memperbaiki otot-otot di belakang badannya yang tercedera.
Ketua Eksekutif Kelab, Adriano Galliani berkata “Pablo Mari mengalami luka yang agak dalam di belakangnya, mujurlah tidak kena organ penting seperti paru-paru atau sebagainya.”
“Nyawanya tidak berada dalam bahaya, dia boleh sembuh dengan cepat,” kata Galliani.
Galliani berkata bahawa Mari telah ditumbuk di muka sebelum ditikam di belakang, namun beliau selamat disebabkan oleh ketinggiannya yang tinggi iaitu 6 kaki 4 inci (193.4cm).
Mari sedang menerima rawatan di hospital Niguarda dan memaklumkan kepada Galliani bahawa dia akan kembali menjalani latihan pada hari Isnin.

Sementara itu, Arsenal FC berkata “Kami semua terkejut mendengar insiden tikaman di Itali yang telah menyebabkan beberapa mangsa dikejarkan ke hospital termasuklah pemain kami yang dipinjamkan, Pablo Mari.”
“Kami telah berhubung dengan ejen Pablo yang memaklumkan kami bahawa Mari berada di hospital dan tidak mengalami kecederaan yang serius.”
“Kami juga turut bersimpati dengan insiden yang menimpa Pablo dan mangsa-mangsa lain.”
Dalam insiden serangan tersebut, seorang lelaki berusia 30-an yang bekerja di pasar raya itu telah maut.
Mari dan tiga orang lagi mangsa dibawa ke hospital manakala enam orang lagi cedera ringan.

Insiden serangan berkenaan akan disiasat dan polis telah menahan seorang lelaki berusia 46 tahun yang mengalami masalah kesihatan mental.
Dilaporkan bahawa dia telah mengambil pisau dari rak pasar raya sebelum sebelum bertindak menyerang orang awam, lapor Sky News.
Pihak pasar raya Carrefour berkata bahawa polis dan kru ambulans tiba ke tempat kejadian dengan segera sejurus selepas mendapat panggilan.
Di samping itu, mereka amat bersimpati kepada pekerja dan pelanggan yang terlibat dalam kejadian itu.
Malah, mereka turut menawarkan rawatan psikologi kepada mangsa.
Sumber: Sky News