Tiga Sekeluarga Termasuk Seorang Bayi 1 Tahun Maut Dalam Kemalangan Babitkan Lori Dua Tan
Pasangan suami isteri dan seorang bayi berusia setahun dilapor maut dalam sebuah kemalangan yang berlaku di Kilometer 216, Lebuh Raya Utara-Selatan (arah utara) Simpang Ampat pada hari ini, lapor Sinar Harian.
Kemalangan yang berlaku kira-kira jam 11 pagi tadi itu telah mengorbankan pasangan suami isteri yang masing-masing berusia 28 tahun termasuk bayi mereka di lokasi kejadian.
Komander Operasi Pegawai Kanan Bomba (PBK) II KUP, Ezanee Hamat berkata, tiga jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah, BPP Ayer Keroh dan BBP Tampin telah dikerahkan ke lokasi kejadian selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.02 pagi.
Menurut Ezanee Hamat lagi, setibanya mereka ke lokasi kejadian, pasukan penyelamat mendapati kemalangan tersebut membabitkan sebuah kereta jenis Honda Jazz dan lori dua tan jenis Isuzu.
“Katanya, mangsa tiga beranak menaiki kereta terbabit dan kedua-dua kenderaan dipercayai dari arah sama iaitu selatan.
“Operasi terkawal jam 12.31 tengah hari sebelum operasi menyelamat tamat jam 1.09 petang.
“Bagaimanapun pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan dan mayat ketiga-tiga mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah,” kata Ezanee Hamat dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu ketika dihubungi oleh Sinar Harian telah mengesahkan kejadian kemalangan maut tersebut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987,” kata Arshad Abu ketika dihubungi.
Kemalangan maut itu juga telah menyebabkan kesesakan trafik sepanjang lebih daripada satu kilometer.
Sumber: Sinar Harian