Siakap Keli
boleh ke kuatkan suara ketika solat
Kredit: Islam Time

Boleh Ke Kuatkan Suara Ketika Solat Untuk Tujuan Beri Isyarat Di Luar Solat? Ini Jawapan Mufti Wilayah

Boleh Ke Kuatkan Suara Ketika Solat Untuk Tujuan Beri Isyarat Di Luar Solat? Ini Jawapan Mufti Wilayah

Sebagai umat Islam, bacaan dalam solat adalah perkara yang paling penting dan perlu dititikberatkan. Oleh itu, kita sewajarnya menumpukan sepenuh perhatian dan fokus ketika mendirikan solat.

Namun, kadang kala fokus tersebut terganggu apabila berhadapan dengan masalah di mana seseorang memanggil nama kita berkali-kali sewaktu kita sedang mengerjakan ibadah tersebut.

Justeru, timbul persoalan sama ada boleh atau tidak untuk menguatkan suara ketika solat agar orang yang memanggil itu tahu bahawa kita sedang solat.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenainya, mari ikuti pencerahan yang telah dikongsikan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di bawah ini.

Kredit: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Soalan:

Assalamualaikum Datuk, di sini saya ingin bertanya. Jika saya sedang solat kemudian ada orang diluar rumah memanggil nama saya. Adakah saya boleh meninggikan suara saya supaya orang yang memanggil tersebut tahu saya sedang solat.

Ringkasan Jawapan

Mengangkat suara semasa mengerjakan ibadat solat bagi tujuan memberi isyarat dan kefahaman kepada orang yang memanggil tersebut adalah diharuskan sekiranya terdapat keperluan dan hajat seperti gangguan terhadap fokus solat. Namun begitu, perbuatan tersebut hendaklah pada bacaan-bacaan dalam solat seperti takbir untuk berpindah rukun (intiqalat) atau bacaan zikrullah seperti subhanallah dalam masa yang sama perlu diniatkan untuk membaca bacaan tersebut. Adapun jika tidak meniatkan membaca takbir atau tasmik dan semata-mata untuk menjawab panggilan orang di luar solat maka terbatal solatnya.

Huraian Jawapan

Apabila seseorang itu sedang mengerjakan solat, hendaklah mengerjakan solat tersebut dalam keadaan khusyuk iaitu fokus kepada tatacara ibadat tersebut tanpa mengira hal-hal yang berlaku pada keadaan sekeliling. Hal ini kerana ia termasuk kategori memelihara dan menjaga solat seperti mana yang dituntut oleh Allah SWT di dalam firmannya:

حَافِظُوا عَلَى الصَّلَوَاتِ وَالصَّلَاةِ الْوُسْطَىٰ وَقُومُوا لِلَّهِ قَانِتِينَ

Maksudnya: “Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardu, khasnya sembahyang Wusta (sembahyang Asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk.”

(Surah al-Baqarah: 238)

Merujuk kepada dalil di atas, Al-Qurtubi mentafsirkan maksud perkataan “peliharalah” ialah merujuk kepada suruhan Allah SWT ke atas hambanya supaya memelihara serta menjaga solatnya dengan mengerjakan solat tersebut dalam waktunya dan memenuhi syarat-syaratnya. Jelaslah di sini bahawa wajib solat dengan menyempurnakan segala rukun dan syarat-syaratnya.

Berkenaan dengan isu meninggikan suara ketika solat, ia boleh dikaitkan dengan perbahasan memberi isyarat dalam solat. Asal hukum memberi isyarat di dalam solat itu adalah makruh. Namun begitu, sekiranya terdapat hajat dan keperluan bagi seseorang itu untuk memberi isyarat ketika solat maka ia diharuskan berbuat demikian. Menurut Sheikh Muhammad bin Ahmad al-Syatiri di dalam karyanya:

وتكره الإشارة أيضا لغير حاجة، إنما المواقف تختلف، فقد يضطر المصلي لها، فلو رأى شخصا ماشيا في اتجاه نجاسة في الأرض لا يعلمها، فأشار إليها ليحترس فلا كراهة لها

Maksudnya: “Ditegah memberi isyarat tanpa sebarang hajat, sungguhpun begitu situasi kadang kala berbeza. Ada kalanya seseorang yang sedang solat terpaksa memberikan isyarat contohnya dia melihat seseorang sedang berjalan ke arah najis yang berada di tanah sedangkan orang yang berjalan itu tidak mengetahuinya lalu dia memberi isyarat kepada orang tersebut supaya berjaga-jaga, maka hukumnya tidak makruh.”

(Rujuk Syarh al-Yaqut al-Nafis: hlm 162)

Merujuk kepada keterangan di atas, jelaslah terdapat keadaan yang boleh bagi seseorang itu memberi isyarat ketika mengerjakan solat berdasarkan situasi dan keperluan. Oleh itu, perbuatan mengangkat suara semasa solat dengan tujuan memberi kefahaman kepada orang yang memanggil tersebut adalah diharuskan. Tambahan lagi, panggilan tersebut mengganggu khusyuk bagi orang yang solat.

Namun begitu, perbuatan mengangkat suara ini bergantung kepada niat orang yang solat itu juga kerana niat tersebut akan memberi implikasi kepada solatnya. Imam Khatib al-Syirbini menjelaskan jika orang yang solat itu berniat untuk menjawab panggilan beserta dengan niat bacaan solat atau membaca takbir dan tasmik ketika solat maka solatnya tidak batal. Manakala jika dia meninggikan suara tersebut semata-mata tujuan pemakluman maka solatnya batal.

Kesimpulan:

Mengangkat suara semasa mengerjakan ibadat solat bagi tujuan memberi isyarat dan kefahaman kepada orang yang memanggil tersebut adalah diharuskan sekiranya terdapat keperluan dan hajat seperti gangguan terhadap fokus solat. Namun begitu, perbuatan tersebut hendaklah pada bacaan-bacaan dalam solat seperti takbir untuk berpindah rukun (intiqalat) atau bacaan zikrullah seperti subhanallah dalam masa yang sama perlu diniatkan untuk membaca bacaan tersebut. Adapun jika tidak meniatkan membaca takbir atau tasmik dan semata-mata untuk menjawab panggilan orang di luar solat maka terbatal solatnya.

Adapun jika tidak meniatkan pada bacaan takbir atau tasmik dan semata-mata untuk menjawab panggilan orang di luar solat maka terbatal solatnya.

Wallahu A’lam..

Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan

Farah Nabilah