Siakap Keli
Berdepan Krisis Bahan Api Stesen Minyak Di Bandar Vietnam Ditutup
Gambar: Vietnam News Agency

Berdepan Krisis Bahan Api, Stesen Minyak Di Bandar Vietnam Ditutup

Berdepan Krisis Bahan Api, Stesen Minyak Di Bandar Vietnam Ditutup

HANOI — Beberapa stesen minyak di sekitar ibu negara Vietnam, Ho Chi Minh City terpaksa menangguhkan operasi dan ditutup buat sementara waktu berikutan kekurangan bahan api.

Memetik laporan Nikkei Asia, perkara itu berlaku disebabkan kesan pasaran petroleum yang terjejas dan kerajaan terpaksa membuat kawalan harga hingga menyebabkan kadar keuntungan kepada pengedar berkurang.

Penutupan stesen minyak itu sekaligus memburukkan lagi keadaan apabila meningkatkan beban kepada kilang penapisan domestik.

Bergelut dengan krisis petroleum, kerajaan menjelaskan bahawa mereka memerlukan masa bagi menyelesaikan sepenuhnya masalah itu.

Pada pertengahan Oktober lalu, Vietnam telah menggesa dua kilang minyak bagi meningkatkan pengeluaran pada tahap maksimum dalam usaha memenuhi permintaan domestik.

Tambahan lagi, negara itu juga meminta kepada pengedar untuk mempercepatkan proses penghantaran ke stesen minyak.

Syarikat minyak terbesar negara itu, PetroVietnam telah bertindak pantas susulan penutupan stesen-stesen minyak berkenaan dengan menaikkan kadar operasi kilang penapisan Dung Quat di wilayah tengah Quang Ngai daripada 107 peratus kepada 109 peratus.

Eksekutif syarikat berkenaan turut berkata bahawa syarikatnya boleh menaikkan kadar kepada 110 peratus atau lebih tinggi jika kerajaan membuat permintaan lanjut.

Sementara itu, sebuah kilang penapisan di wilayah utara Thanh Hoa, Nghi Son berkata pengeluaran pada awal tahun terpaksa dikurangkan dengan ketara kerana ia gagal mendapatkan dana yang mencukupi untuk mengimport minyak mentah.

Sejak awal Oktober lalu, beberapa ratus stesen minyak di Ho Chi Minh City terpaksa menangguhkan operasi beberapa kali berikutan kehabisan bahan api.

Oleh itu, sebahagian rakyat telah menyerbu ke stesen minyak ekoran bimbang kekurangan bahan api itu boleh ‘merebak’ hingga ke Utara Vietnam tidak lama lagi.

Tambahan lagi, monopoli sejumlah besar pembelian produk petroleum oleh negara Eropah menyebabkan negara itu mengalami kesukaran dalam menambah pembeliannya.

Sehubungan itu, kerajaan Vietnam telah menetapkan harga runcit petrol perlu diubah setiap 10 hari sejajar dengan pergerakan harga pasaran antarabangsa.

Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh berkata pelarasan harga yang tepat dapat membantu negara itu misalnya menunda penjualan petroleum.

Oleh itu, kerajaan kini sedang mempertimbang kemas kini harga yang lebih kerap dan mengubah formula yang digunakan untuk menukar harga bahan api itu.

Sumber: NIKKEI Asia

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?