Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Kontrak Adidas Ditamatkan, Kanye West Hilang Status Bilionair
Gugur daripada senarai jutawan, penyanyi rap popular Amerika Syarikat (US) Kanye West dilapor kehilangan status ‘billionair’ selepas pihak Adidas menamatkan kontrak perjanjian mereka, lapor CNN.
Difahamkan, pihak Adidas menamatkan hubungan perniagaan bersama Kanye West atau dikenali Ye kerana dia membuat kenyataan berbaur antisematik dan turut memakai baju slogan yang dikaitkan dengan Ku Klux Klan.
Perkara itu telah diumumkan oleh salah seorang penjejak harta terkemuka dalam kalangan elit kewangan dunia yang mengisytiharkan mereka telah menggugurkan Ye daripada senarai jutawannya.
Penjejak kewangan itu menganggarkan kontrak bersama Adidas menyumbang sebanyak RM7.1 bilion daripada nilai bersihnya, tetapi kini majalah ekonomi Forbes menganggarkan Ye hanya memiliki RM187 juta.
Selain itu, jumlah nilai bersih yang berbaki RM187 juta tersebut adalah daripada hartanah, wang tunai katalog muzik dan lima peratus dalam firma pakaian Skims bersama bekas isterinya Kim Kardashian.
Namun, Ye kemungkinan besar masih menganggap dirinya sebagai seorang jutawan berikutan dia mendakwa Forbes memandang rendah terhadap jumlah bersih yang dibawa pulang olehnya.
Forbes melaporkan pada tahun 2020, di mana pihaknya mula menyenaraikan Ye sebagai jutawan, penyanyi rap itu menghantar mesej kepada pihak majalah berkenaan dengan mengatakan pendapatan tahunannya telah disalah kira.
“Ia bukan RM4.7 bilion. Ia adalah RM15 bilion kerana tiada seorang di Forbes tahu bagaimana untuk mengira,” ujarnya.
Untuk penilaian tahun ini, Ye turut menghantar dokumen kepada Forbes yang mendakwa perkongsian Adidas sahaja bernilai RM20 bilion dan turut mendakwa di media lain bahawa nilai bersihnya mencecah kira-kira RM33 bilion.
Sebelum ini, tular satu video di media sosial, seorang lelaki membakar kasut Yeezy bernilai RM70,000 kerana berang dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Ye.
Lelaki itu bertindak demikian kerana kecewa dengan komen yang dimuat naik oleh penyanyi rap berkenaan dan nekad untuk membakar kasut tersebut sebagai tanda protes.
Ye difahamkan telah mencetuskan perbalahan di media sosial apabila memuat naik satu tweet yang dipercayai berbaur perkauman baru-baru ini.
Sumber: CNN