Siakap Keli

‘This Is Malaysia’ Menggalakkan Kerjasama Bermakna Demi Malaysia Yang Lebih Progresif

Kuala Lumpur, 1 November 2022 – Salah satu sumber penting yang membolehkan sesebuah negara berkembang maju untuk menjadi negara berpendapatan tinggi ialah sumber manusia. Pada hakikatnya, impak modal insan terhadap ekonomi kurang dititikberatkan, lebih-lebih lagi di dalam industri kreatif di mana artis berbakat kadang-kala kurang dihargai. ‘This is Malaysia’ atau ‘Inilah Malaysia’ yang dilancarkan pada 4 November 2022, ialah inisiatif oleh Sasi The Don, penyanyi dan penerbit pemenang anugerah Malaysia, dengan matlamat menekankan kepentingan dan kelebihan kerjasama bermakna dalam usaha membina Malaysia yang lebih progresif.

Berkat sokongan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, inisiatif ini menampilkan lagu tema dan video muzik ‘This Is Malaysia’ yang digubah dan dipersembahkan oleh Sasi The Don, dan turut mengetengahkan bakat-bakat sedang meningkat naik, Nina Nadira, Eddie G, dan Marissa Kee. Lagu tersebut diterbitkan oleh Sasi The Don, muziknya digubah oleh penerbit pemenang anugerah D’Navigator, dengan adunan oleh Deyo Deluxshion dari Singapura dan proses Master oleh Bjorn Engelmann dari Sweden yang baru-baru ini dicalonkan di Anugerah Grammy 2021.

Bintang reggae Malaysia ini juga akan melancarkan sebuah dokumentari anak jati Malaysia yang memaparkan kisah rakyat Malaysia biasa yang melakukan perkara luar biasa untuk meletakkan Malaysia di persada dunia menerusi kerjasama bermakna. Dokumentari ini boleh ditonton di www.thisismalaysia.org dan memaparkan rakyat Malaysia yang terkenal daripada industri berbeza menceritakan pengalaman hidup dan kesungguhan mereka untuk menempa kejayaan.

Antara personaliti terkenal yang diketengahkan dalam dokumentari selama sejam itu termasuk penyanyi Manbai, pemain boling negara Shalin Zulkifli, ikon fesyen Melinda Looi, usahawan tegar Iqbal Ameer, dan pakar perubatan terkenal yang dikenali dengan gelaran Dr Teddy Bear, Dr Madhu Sudhan. Malah ramai lagi rakyat Malaysia penuh inspirasi turut berkongsi kisah mereka menyumbang kepada kemajuan dan kemakmuran negara kita yang sungguh indah ini.

‘This Is Malaysia’ turut memaparkan remix atau gubahan semula lagu Melayu pertama Sasi The Don, yang dicipta pada 2002 bertajuk ‘Suatu Impian’ dan dipersembahkan dengan Amy Search, di samping menyampaikan versi baharu lagu klasik “Rasa Sayang” bersama penyanyi Malaysia Sharifah Sharifah Afiffah dan penyanyi rap B-Heart dan Shou Raion. Sasi The Don ialah penerbit eksekutif dan ketua kreatif projek ini. Beliau sememangnya yakin terhadap potensi anak-anak muda Malaysia untuk menempa nama untuk diri sendiri dan Malaysia di persada dunia.

“Inisiatif ini akan mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia dengan menggalakkan kerjasama bermakna secara menyeluruh, terutamanya dalam industri kreatif, di mana terdapat ruang untuk mencungkil dan memupuk bakat-bakat tempatan. Dengan menekankan kepentingan kita meyakini kelebihan satu sama lain dan menyumbang kepada kemajuan negara, ‘This Is Malaysia’ bakal memberi inspirasi dan menyerlahkan bakat insan untuk mewujudkan persekitaran yang membolehkan rakyat Malaysia menyokong satu sama lain untuk meningkatkan kualiti dan taraf hidup berasaskan cogan kata inisiatif ini, “My Home. My Life. My Pride.” (“Rumahku. Hidupku. Kebanggaanku”).

Saya bertekad untuk memberi inspirasi kepada rakyat untuk menjalin kerjasama bermakna yang menyokong matlamat kita untuk hidup secara harmoni dengan satu sama lain dan alam sekitar menerusi lagu tema dan dokumentari ‘This Is Malaysia’,” kata Sasi The Don.

Sasi The Don, ikon reggae Malaysia, sudah berkecimpung dalam industri muzik selama lebih dua dekad. Beliau pernah berkhidmat dalam pelbagai agensi dan organisasi kreatif multinasional. Sasi The Don menyedari betapa pentingnya usaha mencungkil bakat-bakat unik dan menggunakan kreativiti mereka sebagai satu cara penting bagi menyumbang kepada kemajuan negara.

Sebagai seorang yang giat memperjuangkan isu-isu sosial di Malaysia, Sasi The Don percaya bahawa ‘This Is Malaysia’ akan membakar semangat rakyat Malaysia dan menjadikan mereka lebih yakin terhadap bakat mereka sendiri. Beliau bukan sahaja mahu rakyat Malaysia melihat kempen ini sebagai contoh apa yang boleh dicapai mereka jika mereka berganding bahu dengan matlamat bersama, tanpa mengira industri, sambil berusaha menonjolkan keunikan Malaysia di peta dunia.

‘This Is Malaysia’ boleh didapati di semua platform penyiaran muzik mulai 4 November 2022. Saksikan muzik video ini di https://www.youtube.com/watch?v=3IABLKG_ECk dan tonton dokumentari penuh inspirasi ini di www.thisismalaysia.org.

Amira

Love yourself.