Siakap Keli

Ayah Mengadu Sakit Dada & Susah Nak Jalan, ‘Satu Klinik’ Datang Rumah Semata Nak Beri Rawatan

Kesihatan adalah nikmat kehidupan yang paling besar dan tidak dapat dibeli dengan wang mahupun emas. Bila jatuh sakit, bukan je nak pergi kerja, nak ke klinik atau hospital pun rasa seksa. Kadang tu terpaksa berpapah atau terbongkok berjalan sambil menanggung kesakitan demi mendapatkan rawatan.

Apatah lagi buat mereka yang menghidap penyakit kronik ataupun warga emas yang sudah lama terlantar. Tiada daya untuk berjalan jauh. Nak jalan sepuluh langkah pun susah. Lebih merumitkan bila tinggal di rumah tinggi seperti pangsapuri, apartment dan flat. Kena berjalan dari rumah ke lif, dari lif ke parkir mahupun pondok tunggu bas lagi.

Bukan itu sahaja, mereka mungkin perlu menunggu bas atau teksi sampai, barulah dapat ke klinik atau hospital. Pastinya mencabar buat pesakit yang mempunyai masalah mobiliti seperti warga emas dan individu kelainan upaya. Ada yang terpaksa habiskan masa berjam-jam untuk mendapatkan rawatan.

Inilah situasi yang perlu dihadapi seorang wanita apabila ayahnya mengadu sakit dada dan tidak mampu bergerak. Namun nasib menyebelahinya apabila ada khidmat klinik bergerak MyMedic@Wilayah yang datang ke rumahnya untuk memberi rawatan.

Tarik nafas lega

Bagi penduduk yang tinggal di Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) terpilih di Wilayah Persekutuan, mereka mampu menarik nafas lega dengan adanya khidmat klinik bergerak MyMedic@Wilayah. Khidmat MyMedic@Wilayah ini merupakan inisiatif Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) bagi memudahkan para penduduk mendapatkan rawatan secara percuma.

Sebanyak tiga buah trak klinik MyMedic@Wilayah akan bergerak dari satu lokasi ke lokasi perumahan lain yang dipilih berdasarkan kriteria tertentu. Lazimnya, perumahan terlibat mempunyai keperluan kesihatan yang tinggi namun jauh daripada fasiliti kesihatan seperti klinik ataupun hospital. Kunjungan minima 24 orang pesakit adalah penentu sama ada klinik bergerak akan beroperasi di lokasi tersebut ataupun tidak.

Beroperasi dua kali seminggu

Operasi MyMedic@Wilayah ini berlangsung selama empat jam bagi setiap sesi iaitu daripada 9 pagi hingga 1 petang. Difahamkan, klinik ini beroperasi dua kali seminggu iaitu pada hari Sabtu dan Ahad mengikut jadual ditetapkan melibatkan 15 lokasi antaranya PPR Pekan Kepong, PPR Beringin, PPR Pudu Ulu, PA Seri Aman, PA Seri Pulau Pinang dan PA Seri Tioman.

Dengan adanya perkhidmatan ini, penduduk-penduduk tidak lagi perlu berjalan jauh untuk mendapatkan rawatan. Pesakit boleh mendapatkan pemeriksaan kesihatan daripada doktor bertauliah serta rawatan luka, pemberian ubat dan lawatan pesakit di rumah. Sekiranya pesakit memerlukan pemeriksaan susulan, doktor bertugas akan menyediakan surat rujukan ke hospital buat pesakit.

Kesemua khidmat ini adalah percuma buat para penduduk dan lokasi akan dikemaskini dari masa ke masa, bergantung kepada kawasan yang mempunyai permintaan tinggi.

Ikuti Facebook rasmi Kementerian Wilayah Persekutuan untuk jadual lokasi dan MyMedic@Wilayah untuk maklumat terkini MyMedic@Wilayah.

Amira

Love yourself.