Enam “Seat” Terpaksa Dicabut, Wanita Tertinggi Di Dunia Gembira Akhirnya Dapat Rasa Naik “Flight”
Baru-baru ini, pemegang rekod wanita tertinggi di dunia iaitu Rumeysa Gelgi dilaporkan akhirnya dapat menaiki penerbangan buat kali pertama dalam hidupnya dari Istanbul ke San Francisco.
Selama 13 jam penerbangan tersebut, kru kapal Turkish Airlines itu terpaksa membuang enam baris tempat duduk.
Hal ini kerana Rumeysa tidak boleh duduk lama dan terpaksa berbaring di atas katil disebabkan oleh penyakit skoliosis.
Selain itu, wanita yang setinggi tujuh kaki ini berkongsikan perasaannya kepada wartawan di Lapangan Terbang Istanbul, lapor UNILAD.
“Ini akan menjadi pengalaman saya ke luar negara dan saya percaya bahawa pengalaman ini akan menjadi yang pertama untuk ramai individu, bukan hanya saya seorang,” kata Rumeysa.
“Seperti yang anda tahu, pilihan untuk mengembara sebagai penumpang yang menggunakan pengusung ini secara amnya dikhaskan untuk pesakit yang sedang dipindahkan dari satu unit rawatan rapi ke unit rawatan yang lain,” katanya.
Memetik laporan UNILAD, Rumeysa mengatakan bahawa pengusung yang digunakannya itu sering digunakan untuk membawa pesakit.

Disebabkan beliau tidak boleh duduk dalam tempoh yang lama kerana penyakit skoliosis atau gangguan kelengkungan tulang belakang, beliau terpaksa terbang menggunakan pengusung.
Selepas daripada penerbangan tersebut, Rumeysa telah berkongsi beberapa gambar ketika berada di dalam kapal melalui Instagram.
Di samping itu, beliau juga turut mengucapkan terima kasih kepada kru kapal dan syarikat penerbangan Turkish Airlines.
Wanita berusia 25 tahun itu mengatakan bahawa ia adalah pengalaman yang bermakna untuknya.
“Perjalanan yang dipermudahkan dari awal hingga akhir. Saya amat berterima kasih kepada pegawai dan kakitangan @turkishairlines, @igairport, pasukan @airclinic, semua kru kabin, terutamanya ketua kabin, pegawai @flysfo dan banyak lagi,” kata Rumeysa dalam kenyataannya di Instagram.
“Malangnya, saya tidak berpeluang untuk mengetahui nama-nama yang membantu saya selama 13 jam di udara dan juga yang menganjurkan sambutan penerbangan pertama di atas awan itu” katanya lagi.
Dalam kenyataannya di Instagram, beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Encik Ahmet Bolat, Pengerusi Lembaga Pengarah Turkish Airlines dan Encik Ramazan Yaşa, Pengurus Perhubungan Pelanggan.

Rumeysa juga turut mengatakan bahawa ia merupakan penerbangan pertamanya dan sudah pasti bukan yang terakhir.
Pada awal tahun ini, Rumeysa berjaya memecahkan tiga rekod dunia.
Beliau telah menjadi wanita yang mempunyai tangan terbesar, serta jari terpanjang dan wanita paling tinggi di dalam dunia.
Tangan kanannya berukuran 24.93cm, purata tangan wanita biasanya berukuran sekitar 17cm.
Sumber: UNILAD