Telan Kos Sekitar RM30K, Lelaki Kongsi Keindahan Laman Rumah Inspirasi Dari Taman Jepun
Memiliki sebuah halaman rumah yang kemas dan rapi serta luas merupakan impian setiap orang terutamanya bagi mereka yang suka membuat dekorasi.
Bukan sahaja kemas, halaman yang tenang dapat menjadi terapi dan penyedap mata memandang lebih-lebih lagi untuk menikmati suasana tidak kira pagi ataupun petang.
Tambahan lagi, laman yang dihiasi dengan warna kehijauan dapat memberikan kelegaan khususnya kepada mereka yang sedang dibelenggu masalah atau stres.
Dalam sebuah perkongsian oleh Abah Klasik di Facebook kumpulan Laman Landskap Keliling Rumah baru-baru ini, ia telah menambat hati para warganet dengan panorama halaman rumahnya yang cukup menggamit hati sesiapa sahaja yang melihatnya.
Bertemakan inspirasi dari salah sebuah laman Facebook Jepun, Abah Klasik yang tersentuh dengan keindahan dan susunan budaya negara itu terus memutuskan dan berbincang dengan rakannya untuk menghasilkan sebuah laman tersebut.
Laman Rumah

Ketika dihubungi SK, dia berkata kos pembinaan tersebut adalah sekitar RM30,000.
Beliau telah menggunakan konsep dari negara matahari terbit itu dengan meletakkan batu bukit bersaiz besar (1 hingga 4 kaki) yang dipesan dari gunung di Baling, Kedah untuk pembinaan kolam.
“Kos anggaran sekitar 30k macam tu. Batu laman Jepun tu order di Baling, Kedah,” katanya.
Selain itu, turut diselitkan pokok-pokok seperti Agave, Cycus Revoluta dan Bromeliad di sekeliling laman rumahnya bersama rumput karpet sebagai penyeri mata.
Bagi memastikan ia kelihatan seperti sebuah taman semula jadi, sebuah kolam juga dibina dan dipenuhi dengan Ikan Koi jenis Japan Butterfly (ekor panjang) sesuai dengan latar belakangnya.
“Kolam saya gunakan batu bukit yang bersaiz besar, saiz satu kaki ke empat kaki dengan pokok-pokok Agave, Cycus Revoluta, Bromeliad untuk penambah seri.
“Kolam ikan saya letakkan Ikan Koi Japan Butterfly jenis ekor panjang” katanya sewaktu dihubungi SK.

Pondok Gazebo

Bukan sahaja halaman yang kemas, sebuah pondok kayu (Gazebo) juga didirikan, sesuai untuk berehat atau melelapkan mata sejenak.
Bagi pembinaan gazebo ini, ia berkonsepkan daripada pelan Gazebo Klasik Terengganu. Penggunaan kayu berkualiti iaitu kayu cengal memastikan ia tampak lebih kukuh manakala pada bahagian atap pula menggunakan atap senggora.
Tambah Abah Klasik, pembinaan gazebo ini hanya menggunakan cara pemasangan jenis pasak selain lantai sahaja menggunakan paku.

Jika dilihat dari jarak yang dekat, terdapat sebuah pam air dan peralatan seperti tempayan yang digunakan oleh nenek moyang dahulu kala masih dijaga dengan rapi.
Ia sekaligus mengekalkan simbolik kaum Melayu terdahulu yang semakin jarang dilihat oleh generasi sekarang.

Untuk pengetahuan, halaman rumah ini siap dibina sepenuhnya dalam masa sekitar empat bulan melalui hasil titik peluh Abah Klasik bersama rakan-rakan seperjuangan.
Sumber: Abah Klasik via Facebook Kumpulan Laman Landskap Keliling Rumah