Tengah Lapor Kadar Peningkatan Jenayah, AirPod Milik Wartawan ‘Disamun’ Burung Kakak Tua
Seperti yang diketahui, burung kakak tua sememangnya mempunyai ‘keletah’ yang tersendiri. Ia cukup dikenali kerana kemahirannya yang boleh bercakap atau mengajuk percakapan manusia.
Bercakap mengenainya, baru-baru ini tular satu video yang memaparkan aksi seekor burung kakak tua yang menganggu siaran langsung laporan berita di Chile.
Menerusi video yang dikongsikan di laman Twitter CNN, AirPod milik seorang wartawan dilapor telah ‘dirompak’ oleh burung tersebut.
Ironinya, wartawan yang dikenali sebagai Nicolas Krumm pada ketika itu sedang melaporkan mengenai peningkatan kadar jenayah di Santiago.
Dalam video tersebut, dapat dilihat wartawan itu sedang membuat liputan secara langsung bagi sebuah saluran televisyen sebelum burung itu datang bertenggek di atas bahunya.
Bagaimanapun, tanpa disangka burung itu bertindak ‘mencuri’ AirPod miliknya yang berada di telinga sebelum terbang pergi meninggalkan kawasan itu.
Dia dilihat cuba mengambil peranti itu kembali tetapi tidak berjaya dan masih meneruskan laporannya.
Sementara itu, dapat dilihat juga seorang kru cuba untuk mengambil AirPod itu tetapi tidak berjaya.
Ia bagaimanapun telah dijumpai semula di dalam rumput selepas kejadian itu.
A parrot steals a reporter's AirPod in Chile while he was telling the audience about rising crime rates. pic.twitter.com/ktaBDNS0JM
— CNN (@CNN) November 6, 2022
Sumber: abcActionNews, CNN News