Siakap Keli

Lego Labur RM 4.74 Bilion, Buka Kilang Baharu Bersaiz 60 Padang Bola Di Vietnam

Lego Berjaya Membina Kilang Neutral Karbon Di Vietnam Bernilai $1 Bilion

Syarikat pengeluar permainan terkemuka dunia, Lego melaksanakan upacara pecah tanah di tapak pembinaan kilang pengeluaran bebas karbon terbarunya di Vietnam, 3 November lepas, lapor Nikkei Asia.

Menelan kos pembinaan RM 4.74 bilion, kilang bersaiz 60 padan bola sepak itu dibuka bagi memenuhi cita-cita Lego untuk menguasai pasaran Asia Tenggara dan pasaran-pasaran baru di masa depan.

Ketua Pegawai Eksekutif syarikat berasal dari Denmark itu, Niels Christiansen, dan Putera Mahkota Denmark, Frederik hadir dalam upacara rasmi lokasi tapak pembinaan yang terletak kira-kira 50 kilometer daripada bandar Ho Chi Minh, hub perniagaan utama Vietnam.

Dikelilingi kawasan hutan, kilang berkenaan dijangka akan membuka sebanyak 4,000 peluang pekerjaan dalam tempoh 15 tahun akan datang.

Naib Perdana Menteri Vietnam Pham Binh Minh dan pegawai tempatan lain turut menyertai upacara Khamis, diapit patung penari naga yang dibina daripada batu bata pelangi.

Menurut Nikkei Asia, Christiansen berkata, tenaga boleh diperbaharui adalah faktor tidak boleh dirunding yang membantu Vietnam, hub pengeluar panel solar utama Asia Tenggara, menewaskan negara-negara lain untuk dipilih sebagai lokasi kilang global keenam Lego.

Christiansen turut menegaskan bahawa kemudahan tenaga solar berdekatan lokasi kilang adalah satu-satunya cara untuk mereka mencapai sifar karbon.

Kilang bebas karbon pertama syarikat itu dijangka mula beroperasi pada 2024 dan beroperasi menggunakan tenaga solar melalui panel solar yang dipasang di atas bumbung dan bekalan daripada ladang solar berdekatan. Kilang tersebut akan membekalkan produk-produk Lego di seluruh Asia, di luar China.

Syarikat berusia 90 tahun itu juga menyasarkan untuk mengurangkan kebergantungan kepada penggunaan plastik berasaskan petroleum pada masa akan datang. Produk-produk Lego kini mengandungi separuh bahan-bahan lestari dan kilang mereka di Vietnam tidak akan menghasilkan sebarang sisa apabila beroperasi kelak.

Tahun lepas, kerajaan Vietnam mengejutkan banyak pihak apabila mendedahkan rancangan sifar karbonnya memandangkan negara itu amat bergantung kepada tenaga yang dijana daripada arang batu dan syarikat-syarikat disana juga berdepan kesukaran untuk mendapatkan bekalan tenaga boleh diperbaharui.

Sumber: Nikkei Asia

Shafikah