Peminat barang kemas kini mempunyai satu lagi lokasi untuk mendapatkan koleksi pilihan mereka apabila PANDORA Malaysia secara rasmi membuka butik baharu di 118 Mall, Kuala Lumpur pada 12 November 2026.
Terletak di aras bawah pusat beli-belah berkenaan, butik baharu itu membawa koleksi barang kemas ikonik PANDORA serta pengalaman membeli-belah yang lebih peribadi kepada pelanggan di sekitar Kuala Lumpur.
Majlis pembukaan tersebut turut diadakan serentak dengan pembukaan bilik pameran baharu HABIB di 118 Mall, sekali gus menjadi pencapaian baharu buat kedua-dua jenama barang kemas berkenaan.

Majlis dimulakan dengan upacara memotong reben di butik PANDORA yang dihadiri wakil pengurusan 118 Mall, pihak media, pempengaruh serta tetamu jemputan.
Turut hadir ialah Pengerusi Eksekutif Kumpulan HABIB, Dato' Sri Meer Habib dan Datin Sri Zarida Noordin.

Tawar Khidmat Ukiran Pada Barang Kemas
Antara tarikan utama butik baharu ini ialah perkhidmatan ukiran barang kemas yang membolehkan pelanggan menambah sentuhan peribadi pada pilihan aksesori tertentu.
Menerusi perkhidmatan tersebut, pelanggan boleh mengukir nama, huruf awal, tarikh istimewa atau pesanan ringkas pada barang kemas terpilih.
Menariknya, butik di 118 Mall ini merupakan antara beberapa cawangan PANDORA terpilih di Lembah Klang yang menawarkan perkhidmatan berkenaan.
Menurut Pengurus Besar PANDORA Malaysia, Christine Siew, pembukaan butik baharu itu merupakan satu perkembangan penting dalam usaha jenama berkenaan memperluas kehadirannya di Malaysia.
Beliau turut berharap kemudahan ukiran yang disediakan dapat memberikan lebih banyak pilihan kepada pelanggan untuk menzahirkan identiti dan mengabadikan kenangan istimewa menerusi barang kemas.
Selain perkhidmatan ukiran, butik tersebut turut menempatkan pelbagai koleksi barang kemas PANDORA yang dihasilkan dengan kemasan tangan, termasuk charm ikonik, gelang, cincin, rantai leher dan subang.
Pembukaan butik di 118 Mall ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan PANDORA Malaysia untuk memperluas rangkaian kedai fizikal serta menawarkan pengalaman membeli-belah yang lebih menarik kepada pelanggan di seluruh negara.
