Siakap Keli

Bakal Adakan Konsert Di KL Lagi Dua Hari, Band Muzik Popular NOAH & Ariel Tiba Di Malaysia

Band muzik popular Indonesia, NOAH dilaporkan sudah pun tiba di tanah air sebentar tadi. Band berkenaan berasal daripada band Peterpan yang dibentuk oleh enam ahli, kini NOAH hanya dianggotai tiga ahli kumpulan.

Berdasarkan sebuah video yang dimuat naik oleh seorang juruhebah di ERA.fm, Haniff Hamzah (@haniff_hamzah), beliau kelihatan sedang beramah mesra bersama band tersebut.

Dalam beberapa hantaran Instagram Story di YOLO Malaysia (@yolo_malaysia), terdapat beberapa video yang menunjukkan ahli band tersebut baru sahaja keluar dari pintu masuk negara kita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ketibaan band tersebut turut disambut meriah oleh peminat-peminat tempatan sambil mendendangkan salah satu lagu popular mereka, Mungkin Nanti. Ada juga peminat-peminat yang sempat bergambar bersama band kegemaran mereka itu.

Kredit: Instagram
Kredit: Instagram
Kredit: Instagram

Difahamkan, NOAH akan mengadakan konsert di Malaysia pada 12 November 2022, bermula dari jam 8.30 petang di Zepp Kuala Lumpur.

Untuk makluman, NOAH merupakan sebuah band muzik rock alternatif terkenal dari Indonesia yang dahulunya dikenali dengan nama Peterpan. Band ini ditubuhkan pada 1 September 2000 dengan enam orang ahli asal iaitu Ariel (vokal), Andika (piano), Indra (bass), Lukman (gitar), Reza (drum) dan Uki (gitar).

Selain itu, band ini juga memiliki rekod jualan album terjual sebanyak sembilan juta unit di Indonesia dan menjadikan ia sebagai band terlaris di negara tersebut. Kini, NOAH terdiri daripada tiga orang ahli iaitu Ariel, Lukman, dan David.

Sumber: Haniff Hamzah & YOLO Malaysia via Instagram

 

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma