Siakap Keli

Peluang Saksikan Team Haq Beraksi Di Bera

BERA – Karnival Keluarga Malaysia: Anak Muda Gegor Bera yang akan berlangsung 12 November ini, memberi peluang kepada peminat-peminat e-sukan untuk bertemu dengan pasukan Team Haq Esports Club, yang merupakan juara Kejohanan Liga Profesional Mobile Legends (MPL) MY Musim Ke-10.

Kemunculan sulung Team Haq di Bera pada Sabtu ini, bakal memeriahkan pertandingan Santai eGames yang dianjurkan oleh Miat Quadra Esport Club.

Pertandingan Santai eGames bakal menyaksikan seramai190 peserta dari 38 pasukan yang akan berentap dalam pertandingan e-sukan yang dijangka akan menghimpunkan anak-anak muda seluruh Bera dan kawasan sekitarnya.

Pengerusi Miat Quadra Esport Club yang juga merupakan penganjur program, Mohamad Lukman Afiq Mohamad Faizal berkata, objektif penganjuran pertandingan itu bertujuan untuk melihat lebih ramai bakat anak muda dalam e-sukan.

“Kami berharap kejohanan ini dapat membuka mata banyak pihak agar pada masa hadapan lebih banyak peluang dapat diberikan kepada anak muda khususnya menjadi lebih berdaya saing,” katanya.

Sementara itu beliau memberitahu, Team Haq akan menampilkan kemunculan Garyy, pemain termuda dari pasukan Team Haq. Garyy atau nama penuhnya Muhammad Syafizan Najmi Kamarulzaman, 18, bakal memperlihatkan kemahirannya dalam e-sukan di karnival berkenaan bersama-sama rakan-rakan sepasukannya.

“Ini merupakan antara peluang yang tidak seharusnya dilepaskan oleh peminat e-sukan tempatan untuk melihat sendiri aksi ahli pasukan Team Haq,’’ katanya.

Anak muda yang berusia 18 tahun itu dan enam lagi rakan sepasukannya baru-baru ini bukan sahaja telah mencipta sejarah apabila muncul sebagai juara perlawanan Liga Profesional Mobile Legend (MPL) MY musim ke-10, sekaligus meletakkan mereka di ranking ke-4 dunia.

Pasukan Team Haq bakal mewakili Malaysia ke Kejohanan Dunia Mobile Legends Bang Bang M4 di Jakarta, Indonesia, pada tahun depan.

Garyy, anak kelahiran Marang, Terengganu, mula aktif dalam e-sukan pada tahun 2019, sebelum menyertai Team Haq pada bulan September tahun lalu.

Dalam Team Haq, Garyy bertindak sebagai ‘jungler’, di mana peranannya lebih menjurus kepada membantu pasukan mencipta kemenangan dalam pertandingan yang disertai.

Meskipun terlibat dalam e-sukan, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (1) bercita-cita menjadi seorang arkitek dan sedang menunggu tawaran untuk melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi.

Dalam e-sukan, pencapaian individu tertinggi Garyy antara lain ialah berjaya muncul sebagai Pemain Paling Bernilai kategori individu pada Liga Profesional MPLMY musim ke-10. Pencapaian lain Garyy dalam Team Haq antaranya naib juara MPLMY musim ke-9 dan tempat kelima di perlawanan Mobile Legends: Bang Bang Southeast Asia Cup 2022.

Team Haq Esports Club diasaskan oleh Muhammad Aimanulhaq Zaharudin pada bulan Oktober 2020, turut dibarisi pemain-pemain lain iaitu Mohamad Nilzaihan Mohamad Neilham, Poh Chun Wai, Aiman Zairie Anuar, Aimin Zairie Anuar, Muhammad Qamarul Hisyam Mohd Shukri dan Abdul Wafi Abdul Hamid.

Pemeriksaan kesihatan, pemeriksaan motosikal, ‘foodtruck’ dan gerai jualan juga disediakan pada karnival itu.

Karnival tersebut akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan akan menghimpunkan lebih 2,000 anak muda dari Parlimen Bera dan kawasan sekitarnya.
Maklumat lanjut mengenai program itu boleh hubungi Duke di talian 011- 29566829 dan Yasmin di talian 017-4820294.

Amira

Love yourself.