Melanjutkan pengajian ke universiti menjadi impian ramai anak muda, apatah lagi apabila keluarga sanggup berkorban demi merealisasikan hasrat tersebut.
Namun, bukan semua perjalanan menuju menara gading berjalan lancar, seperti yang dilalui seorang pemuda bernama Dayvesh sehingga hampir terlepas peluang.
Menerusi perkongsian Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong, beliau menceritakan perjalanan Dayvesh yang membesar dalam serba kekurangan.
Dayvesh kehilangan bapanya ketika berusia dua tahun dan sejak itu, ibunya membesarkannya seorang diri selama 16 tahun.
Bekerja sebagai pekerja pembersihan di sebuah klinik, ibunya turut menjaga datuk Dayvesh yang kini berusia 84 tahun.
Selain bekerja, wanita itu juga mengutip kotak serta barangan lusuh untuk dikitar semula selepas pulang bekerja setiap petang.
Wang hasil jualan barangan tersebut disimpan sedikit demi sedikit kerana dia mempunyai satu impian besar buat anak kesayangannya.
Dayvesh Dapat Peluang Kedua

“Duit tu sesen pun mak tak usik. Masuk tabung. Sebab impian mak cuma satu, nak tengok anak dia jejak kaki ke menara gading,” kongsi Steven.
Bagaimanapun, impian Dayvesh yang kini berusia 18 tahun hampir tidak kesampaian selepas masalah telefon bimbit menyebabkan dia terlepas pendaftaran universiti.
Menurut Steven, selepas telefon bimbitnya selesai dibaiki, Dayvesh baru menyedari terdapat e-mel tawaran pengajian daripada pihak universiti.
Malangnya, tarikh akhir pendaftaran sudah berlalu dan peluang yang dinanti-nantikan selama ini hampir terlepas begitu sahaja.
“Bayangkan luluh hati seorang ibu bila impian bertahun yang tinggal seinci tiba-tiba terlepas depan mata,” kata Steven.
Tidak mahu berputus asa, ibu Dayvesh kemudian mendapatkan bantuan Steven dengan menceritakan masalah yang dihadapi keluarganya.
Selepas mengetahui keadaan tersebut, Steven mengambil inisiatif menghantar surat rayuan kepada pihak universiti bagi membolehkan Dayvesh meneruskan pengajian.
Usaha itu membuahkan hasil apabila pihak universiti bersetuju memberikan peluang kedua kepada Dayvesh untuk mendaftar masuk.
Persetujuan tersebut bukan sahaja membuka jalan buat Dayvesh melanjutkan pengajian, malah merealisasikan impian ibunya selama ini.
Dalam perkembangan lain, anak-anak angkat Steven turut mengambil inisiatif menggembirakan keluarga tersebut dengan membawa mereka membeli-belah sempena Deepavali.

Lebih menyentuh hati, wang untuk membeli kelengkapan baharu itu merupakan hasil jualan amal yang dikumpulkan sendiri oleh anak-anak angkatnya.
“Kelmarin, anak-anak angkat saya pakat bawa Dayvesh, ibu dan tata (datuk) pi shopping Deepavali.
“Saya tanya duit mai mana? Ingatkan saya kena buka dompet lagi. Rupa-rupanya depa kata duit itu hasil jualan amal berkat depa rajin mai program saya buka gerai.
“Saya cukup tersentuh. Anak-anak angkat saya bukan daripada kalangan keluarga orang senang, tapi mereka begitu sanggup bantu orang lain.
“Seronok tengok muka tata, dah bertahun-tahun orang tua tak merasa pakai baju baru untuk raya,” kongsi Steven.
Ketika berkunjung ke rumah Dayvesh bagi meraikan kejayaan pemuda itu, ibunya turut mengimbau bantuan Steven yang pernah diterima mereka kira-kira enam tahun lalu.
Menurutnya, Steven pernah datang ke rumah mereka ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk menyampaikan sebuah komputer riba kepada Dayvesh.

Kemudahan tersebut digunakan Dayvesh untuk mengikuti pembelajaran ketika sekolah ditutup, sekali gus membantunya meneruskan usaha mencapai impian melanjutkan pengajian.
Namun, komputer riba berkenaan kini sudah uzur selepas digunakan Dayvesh selama beberapa tahun untuk meneruskan pembelajaran.
Selepas 16 tahun membesarkan anak seorang diri, pengorbanan ibunya akhirnya membuahkan hasil apabila Dayvesh berpeluang melangkah ke alam universiti seperti diimpikan selama ini.

