Inisiatif Impian GIGih GXBank membantu lebih 2,000 keluarga di seluruh negara sejak dilancarkan pada 2023 menerusi bantuan pendidikan, biasiswa pengajian tinggi serta program celik kewangan.
GXBank dalam kenyataan memaklumkan pihaknya turut menerima 10 penuntut baharu bagi kohort biasiswa 2026, menjadikan jumlah keseluruhan penerima tajaan kepada 28 pelajar di universiti awam seluruh negara.
Biasiswa tanpa ikatan itu merangkumi tajaan yuran penuh, elaun sara hidup dan bimbingan kepimpinan eksekutif bagi membantu pelajar meneruskan pengajian serta membina kerjaya pilihan mereka.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Operasi GXBank, Hildah Hamzah berkata kekangan kewangan yang menyebabkan anak muda berbakat tercicir daripada pendidikan merupakan kerugian kepada negara.
“Pendidikan adalah kunci untuk mengubah nasib hidup. Namun sayangnya, masih ramai anak muda berbakat yang tercicir akibat jurang pendapatan keluarga yang semakin melebar.
“Dengan meringankan beban ini, kami mahu mereka fokus membina kerjaya, mengangkat martabat keluarga, dan berbakti semula kepada tanah air,” katanya dalam kenyataan itu.
Menurut GXBank, Impian GIGih digerakkan melalui tiga komponen utama, iaitu dermasiswa, celik kewangan dan biasiswa, bagi menyediakan sokongan pada peringkat penting pendidikan.
Menerusi Impian Gigih Dermasiswa, bank itu menyalurkan kelengkapan persekolahan dan barangan dapur asas kepada keluarga berpendapatan rendah.
GXBank turut meneruskan kerjasama dengan platform pembelajaran digital Pandai, dengan tumpuan tahun ini kepada bimbingan intensif Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk 100 pelajar Tingkatan Lima.
Usaha itu menyusuli pemberian peranti pembelajaran kepada murid Tahun Enam pada tahun sebelumnya.
Bagi komponen celik kewangan, GXBank bekerjasama dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) menghasilkan siri kandungan media sosial ringkas berasaskan buku G.R.O.W.
Kandungan berkenaan merangkumi panduan menyediakan bajet harian, membina tabiat menabung serta mengurus hutang bagi membantu masyarakat mengendalikan kewangan peribadi dengan lebih yakin.
Sementara itu, penerima biasiswa kohort 2026, Mithranaath Ravi, 20, berkata tajaan tersebut meringankan beban keluarganya dan membolehkannya memberikan tumpuan kepada pengajian.
Penuntut Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik (Reka Bentuk Semikonduktor dan Litar Bersepadu) dengan Kepujian itu berkata kecekalan bapanya yang memandu berjam-jam setiap hari untuk menyara keluarga menjadi dorongan kepadanya.
“Malaysia berhasrat melahirkan lebih ramai pereka cip tempatan. Saya mahu menyahut seruan itu, tetapi bagi anak muda daripada latar belakang seperti saya, kos untuk mengejar impian itu boleh membantutkan cita-cita sebelum sempat bermula.
“Berkat biasiswa ini, beban keluarga saya dapat diringankan dan saya kini boleh fokus kepada pengajian dan membuktikan kemampuan diri,” katanya.
GXBank memaklumkan inisiatif berkenaan bertujuan menangani kekangan kewangan yang menyekat mobiliti sosial, di samping membantu anak muda kekal dalam sistem pendidikan dan membangunkan kemahiran untuk pasaran kerja masa hadapan.

