Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Anak Angkat Steven Sim Bantu Nabila Sambung Semula Cita-Cita Selepas Terkandas Empat Tahun

STEVEN
Kredit: Facebook Steven Sim

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim, berkongsi kisah menyentuh hati apabila membantu seorang remaja, Nabila, 17, menyambung semula pelajaran selepas terpaksa berhenti sekolah akibat kekangan kewangan keluarga.

Steven berkata, kisah Nabila diketahuinya selepas menerima pesanan daripada salah seorang anak angkatnya, Gabriel Ooi, kira-kira dua minggu lalu.

Menurutnya, Gabriel bersama rakannya, Sandira yang masih menuntut di Universiti Utara Malaysia (UUM), terlebih dahulu berusaha membantu Nabila mendapatkan peluang melanjutkan pengajian dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Dua minggu lepas saya dapat satu pesanan WhatsApp daripada Gabriel Ooi, salah seorang anak angkat saya. Dia tulis pendek saja, ‘YB boleh tak nak minta tolong’.

“Mula-mula saya ingat dia nak minta tolong untuk diri dia, rupanya bukan. Dia dengan kawannya Sandira jumpa seorang budak, Nabila, yang tak pergi sekolah sebab keluarga dia tak ada kemampuan, mak dia pula dah lama sakit,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.

Jelasnya, Gabriel dan Sandira kemudian berusaha mencari serta mendaftarkan Nabila ke sebuah kolej TVET di Kedah sebelum meminta bantuan bagi menampung kos pengajian remaja berkenaan.

“Gabriel ni dah habis belajar, Sandira pula masih belajar di UUM. Walaupun mereka berbeza bangsa dan agama, mereka masih rapat macam abang dengan adik.

“Saya balas pendek saja pesanan itu, ‘Jalan Teruih’,” ujarnya.

Steven berkata, beliau kemudian meluangkan masa menziarahi keluarga Nabila bagi melihat sendiri keadaan yang diceritakan oleh kedua-dua anak angkatnya itu.

Menurutnya, Nabila tinggal bersama datuk dan neneknya selepas ibunya jatuh sakit kira-kira empat tahun lalu sehingga menyebabkan keluarganya kehilangan sumber pendapatan.

Katanya, keadaan itu menyebabkan Nabila tercicir dalam pelajaran dan tidak dapat meneruskan persekolahan sehingga kini.

“Bila berita ini sampai kepada anak angkat saya, mereka usaha sungguh-sungguh nak bantu Nabila supaya boleh teruskan cita-cita dia.

“Mereka cuba cari TVET dekat rumah Nabila, tetapi semuanya tak ada asrama. Nabila pula tak ada kenderaan untuk pergi ke kolej,” katanya.

Bagaimanapun, usaha kedua-duanya akhirnya membuahkan hasil apabila mereka menemui sebuah kolej TVET di Sik, Kedah yang menyediakan kemudahan asrama.

Steven berkata, selepas mendapat persetujuan Nabila dan keluarganya, remaja itu terus didaftarkan ke kolej berkenaan dan dijadualkan memulakan pengajian minggu depan.

Dalam pada itu, beliau turut meminta izin daripada ibu serta datuk dan nenek Nabila untuk menjadikan remaja itu sebagai anak angkatnya.

“Saya janji akan tanggung semua belanja dia sampai habis belajar,” katanya.

Kredit: Facebook Steven Sim

Steven berkata, keputusan itu bukan mudah terutama buat nenek Nabila yang sedih kerana perlu berpisah dengan cucu kesayangannya, namun tetap meredai pemergian Nabila demi masa depannya.

Menurutnya, datuk Nabila juga cuba menunjukkan ketabahan walaupun berat hati untuk berpisah dengan cucunya.

Beliau berharap kejayaan Nabila kelak bukan sahaja dapat membantu keluarganya, malah mendorong remaja itu meneruskan nilai keprihatinan dan ringan tangan membantu orang lain.

Menjelang sambutan Hari Kebangsaan ke-69, Steven berkata, kisah Gabriel dan Sandira membuktikan semangat kemerdekaan bukan sekadar mengibarkan Jalur Gemilang, sebaliknya turut diterjemahkan melalui perpaduan dan nilai kemanusiaan.

“Saya bangga ada anak angkat macam Gabriel dan Sandira.

“Walaupun mereka berbeza bangsa dan agama, mereka letak kemanusiaan di depan sekali, sanggup turun padang bantu orang macam Nabila.

“Depa tunjuk kepada kita semua yang semangat Merdeka bukan hanya kibar Jalur Gemilang, tetapi perpaduan hati anak-anak Malaysia yang sedia berganding bahu demi masa depan bersama,” jelasnya.

Steven turut berharap kisah itu menjadi inspirasi kepada lebih ramai masyarakat untuk saling membantu dan membuka ruang baharu kepada mereka yang berdepan kesukaran.

“Saya cuma jawab satu mesej pendek, ‘Jalan Teruih’ kepada mereka dan hari ini mereka tunjukkan jalan keluar daripada masalah yang hampir putuskan masa depan Nabila.

“Dengan semangat ikhlas mereka, pintu harapan terbuka semula.

“Anak-anak ku, jalan teruih,” katanya.

Perkongsian itu turut mendapat pelbagai reaksi positif daripada warga maya yang rata-rata memuji usaha Steven, Gabriel dan Sandira membantu Nabila mendapatkan peluang kedua untuk mengejar cita-citanya.

Intipati
  • Steven Sim berkongsi kisah Nabila yang berhenti sekolah akibat kekangan kewangan keluarga.
  • Gabriel Ooi dan Sandira membantu mendaftarkan Nabila ke kolej TVET berasrama di Sik.
  • Steven meminta izin menjadikan Nabila anak angkat dan akan menanggung kos pengajiannya.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan