Piala Sultan Azlan Shah: Pernah Naib Juara Sebanyak 5 Kali, Kemenangan “Speedy Tigers” Tamatkan Penantian 39 Tahun
Sukan hoki sememangnya semakin mendapat tempat di mata dunia dan merupakan antara sukan yang paling popular di Malaysia selepas sukan bola sepak dan badminton.
Sebentar tadi, berlangsungnya perlawanan akhir Piala Sultan Azlan Shah edisi 2022 yang menyaksikan pertembungan antara Malaysia menentang Korea Selatan.
Dalam perlawanan yang baru sahaja melabuh tirainya sebentar tadi, Malaysia sebagai tuan rumah berjaya meleburkan 39 tahun penantian untuk melakar kejuaraan sulung dalam kejohanan itu.
Menerusi perlawanan yang sangat mendebarkan dan dramatik itu, Speedy Tigers berjaya menumpaskan Korea Selatan dengan skor 3-2.

Sementara itu, pasukan hoki Pakistan meraih tempat ketiga selepas menewaskan pasukan dari negara matahari terbit, Jepun 5-3 manakala Mesir pula menduduki tempat kelima kempen dengan menewaskan Afrika Selatan dengan skor 2-1.
Pada anjuran kejohanan kali ini, Muhammad Razie Abdul Rahim dari Malaysia dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan manakala Muhammad Hafizuddin Othman juga dari Malaysia merangkul gelaran penjaring terbanyak selepas menjaring 17 gol dan Shello Silverius juga dari skuad negara diangkat selaku pemain terbaik kejohanan.
Sejarah Penglibatan Malaysia Dalam Piala Sultan Azlan Shah

Sejak kali pertama dianjurkan pada tahun 1983, Piala Sultan Azlan Shah merupakan salah satu kejohanan hoki paling berprestij.
Sepanjang penganjurannya, skuad negara pernah beberapa kali hampir menyandang gelaran juara namun dihampakan oleh pasukan lawan dengan naib juara, tempat ketiga dan keempat.
Untuk rekod, Malaysia yang berada pada kedudukan 10 terbaik dunia itu pernah menjadi naib juara sebanyak lima kali dalam Piala Sultan Azlan Shah pada tahun 1985, 2007, 2009, 2013 dan 2014.

Selain itu, Malaysia juga pernah meraih tempat ketiga sebanyak dua kali iaitu pada edisi 1996 dan 2019 selain tersenarai sebanyak tujuh kali sebagai pemenang tempat keempat Piala tersebut pada tahun 1983, 1987, 1994, 2000, 2010, 2016 dan 2018.
Pada tahun 2020 dan 2021, Piala Sultan Azlan Shah terpaksa dibatalkan berikutan wabak pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia ketika itu.

Memetik Sinar Harian, Australia muncul pasukan terbaik apabila menjadi pasukan terbanyak memenangi anjuran itu dengan mengumpul sebanyak 10 koleksi kejuaraan.
Pada 2014, Malaysia hampir menggenggam kejuaraan pertama namun dinafikan oleh Autralia apabila dibelasah teruk dengan keputusan lapan gol berbalas tiga di pentas akhir.
Tahniah untuk Speedy Tigers, semoga terus menyinar dan membanggakan negara.
Sumber: Sinar Harian, International Hockey Federation, Bernama
BACA JUGA: “Orang Kampung Kata…Mungkin Tak Kembali,” Misteri Busut Di Kg. Seri Daik, Penduduk Dilarang Dekat