Siakap Keli
Pampasan Percuma Pembukaan LRT
Gambar: BERNAMA

Ini Tiga Pampasan Percuma Kepada Pengguna LRT Laluan Kelana Jaya

Seperti yang sedia maklum, perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya telah pun diumumkan akan kembali beroperasi sepenuhnya mulai 6 pagi nanti (14 November) sejak penggantungan  pada petang Selasa minggu lalu.

Pengumuman tersebut dikongsikan melalui laman rasmi Twitter @AskRapidKL. Difahamkan perkhidmatan tersebut beroperasi dua hari lebih awal daripada yang telah dijadualkan setelah mendapat kelulusan daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Ekoran daripada itu, pihak Rapid KL turut mengumumkan pemberian pampasan percuma kepada pengguna laluan yang terjejas sepanjang tempoh penutupan tersebut. Mereka yang terlibat terbahagi kepada tiga golongan iaitu pengguna My50, Touch ‘n Go dan token.

Pengguna My50

Bagi pengguna My50, golongan ini akan diberikan tambahan perjalanan selama tujuh hari apabila memperbaharui pas My50 bermula 21 November hingga 20 Disember 2022.

Malah golongan ini juga diarahkan untuk ke Pejabat Khidmat Pelanggan di stesen LRT, MRT, Monorel dan BRT untuk membuat pengesahan.

Selain itu, pelanggan pas My50 yang mempunyai tamat tempoh antara Isnin 14 November hingga Ahad 20 November 2022 boleh menggunakan pas seperti biasa tanpa sebarang caj.

Tetapi, pastikan nilai baki minima sekurang-kurangnya RM5.00 dikekalkan di dalam pas.

Pampasan Percuma Pembukaan LRT
Kredit: Ask Rapid KL

Pengguna Kad Touch ‘n Go

Sementara itu, bagi pengguna kad Touch ‘n Go (TNG) yang menggunakan perkhidmatan Laluan Kelana Jaya, mereka boleh menggunakan kad seperti biasa tanpa sebarang caj.

Pampasan percuma ini boleh digunakan antara Isnin, 14 November hingga Ahad, 20 November 2022 dengan syarat destinasi mula atau akhir dalam di mana-mana stesen Laluan Kelana Jaya.

Diperingatkan juga, baki minimum dalam kad tersebut haruslah sekurang-kurangnya RM5.00 dan dikekalkan di dalam pas.

Pampasan Percuma Pembukaan LRT
Kredit: Ask Rapid KL

Pengguna Token

Manakala bagi pengguna token pula, semua pelanggan yang menggunakan perkhidmatan ini akan layak menikmati tambang percuma dari Isnin, 14 November sehingga Ahad, 20 November.

Bagaimanapun, pengguna perlu mendapatkan token di mana-mana Pejabat Khidmat Pelanggan di stesen LRT, MRT, Monorel dan BRT untuk mendapatkan token khas perjalanan sehala iaitu dengan syarat destinasi mula atau akhir adalah di mana-mana stesen Laluan Kelana Jaya.

Pampasan Percuma Pembukaan LRT
Kredit: Ask Rapid KL

 

Sebarang maklum balas boleh diajukan kepada pegawai di mana-mana pejabat khidmat pelanggan melalui email [email protected], talian 03-7885 2585 atau melalui laman  media sosial.

Anda juga boleh merujuk pautan berikut untuk soalan-soalan lazim dan maklumat lanjut.

Perjalanan percuma 7 Hari Rapid KL Laluan Kelana Jaya (RKLL7)

Sumber: @AskRapidKL

 

Florence Nuar