Siakap Keli
Banglo 5 Tingkat Ditimpa Tanah Runtuh
Gambar via Sinar Harian

Banglo 5 Tingkat Di Ampang Ditimpa Tanah Runtuh Lewat Malam Tadi

Sebuah banglo lima tingkat dilaporkan rosak di bahagian dapur dan bilik tidur selepas ditimpa tanah runtuh di Taman Halaman, Ampang yang berlaku pada lewat malam malam tadi Selasa, 15 November 2022. 

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, selepas pihak mereka menerima panggilan kecemasan pada jam 2.26 pagi, seramai tujuh anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang bergegas ke tempat kejadian untuk misi menyelamat. 

“Setibanya di lokasi, anggota bomba mendapati tanah dan batuan dari cerun bukit menimpa dan merobohkan dinding dapur rumah mangsa di tingkat satu dan bilik tidur tingkat dua.

“Anggaran luas runtuhan tanah di bahagian belakang rumah kira-kira 35 x 20 kaki persegi namun kejadian itu tidak melibatkan mangsa,” katanya, lapor Sinar Harian. 

Disamping itu, pihak penyelamat juga melakukan pemeriksaan di semua tingkat kediaman tersebut untuk memastikan semua penghuni keluar dengan selamat dari kawasan kejadian termasuk sepasang suami isteri berusia 39 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun. 

“Kita juga telah membuat pemeriksaan pergerakan tanah dan memasang sawar-sawar di kawasan tanah runtuh. Unit Cerun Majlis Perbandaran Ampang Jaya akan menjalankan tindakan seterusnya,” jelasnya lagi. 

Sumber: Sinar Harian

Faiz Mustafa