Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Dengan Kelahiran Mana-mana Bayi, Populasi Dunia Cecah 8 Bilion Hari Ini

Nur Syahirah Zainoor Hisham
Kredit: Pixabay

Populasi dunia mencecah 8 bilion hari ini dengan kelahiran mana-mana bayi, berdasarkan jangkaan yang dibuat oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu sebelum ini, lapor AFP.

Setiausaha Agungnya, Antonio Guterres sebelum ini berkata, ia merupakan satu pencapaian untuk meraikan diversiti dan kemajuan yang dicapai dan pada masa yang sama mengambil maklum bahawa manusia bertanggungjawab memelihara planet ini.

PBB juga menyifatkan pertumbuhan perkembangan manusia dimana jangka hayat manusia bertambah antaranya disumbangkan oleh perkembangan teknologi kesihatan, ubat-ubatan, nutrisi, kesihatan awam dan juga aspek kebersihan.

Selain itu, ia turut disumbangkan oleh kadar kesuburan yang tinggi, khususnya di negara-negara miskin, terutamanya di wilayah Sub-Shara, Afrika. Namun begitu, situasi ini akan meletakkan pembangunan manusia di wilayah-wilayah itu dalam risiko.

Populasi semasa dunia hari ini merupakan tiga kali ganda lebih tinggi berbanding populasi manusia pada 1950 yang dianggarkan kira-kira 2.5 bilion ketika itu. Selepas mencapai kemuncak pada 1960, kadar pertumbuhan manusia menjadi perlahan dan keadaan itu dijangka berterusan sehingga 2050.

PBB menjangkakan populasi manusia akan terus bertambah menjadi 8.3 bilion pada 2030, 9.7 bilion pada 2050 dan mencapai 10.4 bilion pada 2080.

Jumlah manusia: berapa ramai untuk dianggap terlalu ramai?

Walaupun penambahan populasi manusia turut menggambarkan perkembangan teknologi, pada masa yang sama penyelidik turut bimbang impak yang akan diberikan kepada alam sekitar.

Ketika ramai yang melihat angka 8 bilion ini adalah terlalu ramai untuk ditampung oleh Bumi, pakar-pakar pula menyatakan kebimbangan terbesar yang perlu diberikan perhatian segera adalah penggunaan sumber secara berlebihan oleh kelompok elit dan kaya-raya.

Namun begitu, Ketua Tabung Dana Populasi Dunia PBB, Natalia Kanem mengingatkan bahawa populasi dunia yang dicapai hari ini bukanlah satu perkara yang perlu ditakuti

Sementara itu Joel Cohen daripada Rockefeller University’s Laboratory of Populations ketika ditemui AFP berkata, persoalan bagaimana Bumi mampu menampung populasi manusia boleh dilihat daripada dua sudut, iaitu had alam semula jadi dan pilihan manusia.

”Pilihan yang diambil menyebabkan manusia mengguna pakai sumber biologi secara berlebihan, seperti hutan belantara dan tanah, melebihi kemampuan alam semula jadi mampu hasilkan semula setiap tahun

“Sebagai contoh, penggunaan bahan api fosil yang berlebihan telah membawa kepada pembebasan gas karbon dioksida yang menyebabkan pemanasan global.

“Kita semua bodoh. Kita tak berpandangan jauh. Kita tamak. Kita tak gunakan maklumat yang kita ada. Dari situlah bagaimana pilihan dan masalah muncul,” kata Cohen.

Bagaimanapun, manusia katanya bukanlah sumpahan kepada Bumi cumanya manusia perlu lebih bijak membuat keputusan.

Sumber: AFP