Siakap Keli
Ebit Lew Hadiahkan Ibu Tunggal Y15
Kredit: Ebit Lew | Facebook

Ebit Lew Hadiahkan Ibu Tunggal Motor Y15

Membesarkan anak seorang diri bukanlah sesuatu perkara yang mudah untuk dilakukan, apatah lagi jika tanpa keluarga ataupun suami di sisi.

Malah, para ibu tunggal terlihat sangat kuat dan tabah dalam menempuh dugaan hidup yang melanda.

Walaupun membesarkan anak seorang diri, namun setiap ibu tunggal pasti inginkan yang terbaik untuk anaknya tidak kiralah daripada aspek kesihatan tubuh badan, pemakanan, tempat tinggal ataupun kasih sayang.

Dapat dilihat pengorbanan seorang ibu dalam membesarkan anaknya adalah sangat besar, malah ada yang sanggup membuat banyak kerja dalam satu masa. Semua itu demi anaknya.

Dalam perkongsian dalam laman Facebook milik Ebit Lew, pendakwah terkenal itu telah menghadiahkan sebuah motosikal Yamaha Y15 kepada seorang ibu tunggal.

Difahamkan ibu tunggal yang dikenali sebagai Emy, 23 tahun itu merupakan anak yatim dan telah berpisah dengan suaminya serta mempunyai seorang anak.

Emy bekerja sebagai penghantar makanan dengan berjalan kaki atau ‘Panda walker’ namun, dalam masa yang sama juga dia bekerja sebagai pembantu sambilan di sebuah restoran.

Ebit Lew Hadiahkan Ibu Tunggal Y15
Kredit: Ebit Lew | Facebook

Menurut Ebit Lew, beliau sangat terharu melihat anak muda gigih mencari rezeki walaupun hanya dengan berjalan kaki.

“Terharu tengok adik ni muda lagi cari rezeki berjalan sana sini. Ujian adik sabarlah, Di usia muda dengan ujian begini. InsyaAllah di sebalik ujian dan kesusahan kerana Allah sayang kita,” tulisnya.

Dalam masa yang sama, Emy telah lama menyimpan hasrat untuk bersemuka dengan pendakwah terkenal itu kerana kagum dengan sikapnya yang suka menolong orang lain.

“Katanya dah lama ingin jumpa saya. Hari-hari tengok ustaz suka tolong orang. Tiba-tiba Allah jumpakan di sini. Selalu doa nak jumpa. Jumpa pun syukur sangat,” katanya.

Malah, Emy tidak menyangka akan diberikan hadiah sebesar ini kerana dia memang merancang untuk membeli motorsikal apabila wang yang dikumpulnya cukup.

“Semoga Allah jaga adik jadi wanita yang solehah dan anak menjadi anak yang baik dan hebat. Terima kasih semua sahabat yang bersama kami selama ini di Pertubuhan Kasih Umat Malaysia. CIMB 8603546376,” kongsinya.

Sumber: Ebit Lew | Facebook

 

Florence Nuar