Siakap Keli

Man. United Buat Mesyuarat Tergempar, Bincang Denda Setimpal Terhadap Ronaldo

Lembaga Pengarah Manchester United telah memanggil Pengurus Pasukan, Eric Ten Hag untuk mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan denda setimpal selepas isu hangat melibatkan kenyataan umum pemain sensasi, Cristiano Ronaldo.

Mesyuarat itu dipercayai bagi menetapkan denda yang setimpal terhadap Ronaldo selepas membuat kenyataan berbaur kecaman kepada kelab dan pengurus United dalam satu temu bual bersama wartawan bola sepak terkenal, Piers Morgan dalam rancangan Piers Morgan: Uncensored.

Dalam temu bual tersebut, penyerang Portugal itu menyatakan beliau tidak menghormati Ten Hag sebagai pengurus kerana Ten Hag juga tidak menghormatinya sebagai pemain. Bukan itu sahaja, Ronaldo juga mendakwa kelab tiada rasa simpati kepada dirinya ketika anak perempuannya sakit dan menyatakan Manchester United telah mengkhianati beliau.

Pemenang lima kali Ballon d’Or itu juga mengkritik fasiliti kelab The Red Devils itu dengan mendakwa tiada langsung perubahan sejak persaraan pengurus paling berjaya di United, Sir Alex Ferguson.

Menurut laporan The Telegraph, mesyuarat tergempar itu melibatkan Ketua Pengarah Eksekutif, Richard Arnold, Pengarah Bola Sepak, John Murtough dan Eric Ten Hag dalam mencari solusi terbaik terhadap kenyataan yang dibuat secara umum oleh pemain yang menerima gaji paling tinggi di United itu.

Manchester United menjadi kelab ‘batu loncatan’ untuk Ronaldo sehingga menjadikannya pemain terbaik di dunia hingga kini dengan memegang pelbagai rekod peribadi termasuk mencatat 700 gol untuk semua kelab yang diwakili sejak permulaan karier.

Ronaldo juga pernah menyatakan hasrat untuk meninggalkan United ketika musim panas yang lalu. Dipercayai tiada kelab yang berminat untuk menandatangani pemain tersebut ditambah halangan dari lembaga pengarah United yang tidak membenarkan pemain itu pergi.

Sumber: Daily Express

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)